Beliau menerusi hantaran di aplikasi X berkata, kenyataan yang tular di media sosial itu dimuat naik oleh akaun palsu bernama @harakakdaily dipercayai milik penyokong Pakatan Harapan (PH).
"Fitnah dan penipuan. Tak pernah sekali pun kami keluarkan kenyataan negatif ke atas idola anak muda, Khairul Aming. Lebih 500 ribu dah lihat fitnah ini, ratusan komen siap maki-maki lagi. Tengok akaun ini, akaun palsu dan provokatif milik penyokong PH.
"Kes kematian motor pun mereka fitnah Ustaz Azhar Idrus, bila arwah Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pun mereka jadikan bahan lawak. Tapi itulah, orang senang sangat percaya fitnah hari ini. Siap kata Donald Trump Presiden Kelantan.
"Wahai akaun palsu penyokong PH, tak perlu nak alih perhatian rakyat dengan fitnah provokasi kamu," katanya pada Selasa.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai hantaran daripada akaun palsu yang memaparkan kenyataan kononnya Syed Saddiq bertindak memberi amaran kepada Khairul Aming supaya melakukan laporan audit kewangan banjir.
Hantaran itu menerima lebih 500,000 tontonan dan ratusan komen daripada orang ramai yang bertindak mengecam kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk menghapuskan akaun tersebut bagi mengelakkan daripada fitnah daripada terus berleluasa.
"Lebih baik jawab tiga soalan daripada rakyat. Satu, PH dan Barisan Nasional (BN) yang batal dan lewatkan RM7 bilion projek tebatan banjir. Kini rakyat yang sengsara. Kedua, banjir tahun ini paling teruk tetapi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan banjir tetap duduki peperiksaan walaupun teruk terkesan.
"Ketiga, kalau akaun media sosial pembangkang dengan fitnah macam ini, dah lama heret ke mahkamah dan dipenjarakan tetapi ini penyokong kamu, tiada tindakan. Adilkah?
"Saya mohon jasa kawan-kawan untuk suka, komen dan kongsi video ini untuk lawan fitnah mereka. Yang kenal Khairul Aming boleh kongsikan sekali kepada dia.
"Saya mengagumi dia, mengapa saya akan melakukan itu kepadanya? Lawan dengan kebenaran bukan demi kemungkaran," tegasnya. - Sinar Harian