PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa kecewa selepas prosiding rayuan bagi mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat kesalahan berkaitan dana Armada ditangguhkan sekali lagi.

Menurutnya, penantian selama lima tahun bagi mendapatkan keadilan bukanlah satu tempoh yang singkat.

"Lima tahun saya menunggu keadilan, ia bukan satu masa yang singkat," katanya pada sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Putrajaya, di sini pada Khamis.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan menetapkan 17 April depan sebagai tarikh baharu selepas pihak pendakwa raya dilaporkan kurang sihat.

Syed Saddiq berkata, walaupun beliau memahami situasi itu di luar kawalan sesiapa, penangguhan berulang kali memberi kesan emosi yang mendalam.

"Sejujurnya saya mendoakan agar kedua-dua pendakwa raya segera sembuh dan kembali sihat, namun saya tidak dapat menafikan rasa kecewa sebagai seseorang yang telah lama menuntut keadilan," katanya.

Beliau menegaskan, setiap kali hadir ke mahkamah, harapannya hanya satu iaitu agar keadilan ditegakkan.

"Namun, penangguhan seperti ini menyebabkan penantian menjadi semakin panjang," tambahnya.

Bagaimanapun, Syed Saddiq tetap menghormati keputusan mahkamah dan percaya kepada sistem kehakiman negara.

"Saya percaya kepada sistem kehakiman kita, walaupun kecewa, saya tetap menghormati pihak pendakwa raya serta institusi kehakiman yang menjadi benteng terakhir demokrasi," katanya lagi.

Menurutnya, sejak kes itu bermula pada tahun 2020, beliau tidak pernah meminta sebarang penangguhan.

"Proses siasatan mengambil masa satu setengah tahun sebelum saya didakwa. Sepanjang perbicaraan berlangsung, saya tidak pernah memohon penangguhan meskipun ada masa saya sendiri tidak sihat," jelasnya.

"Saya tetap hadir setiap kali dipanggil kerana saya percaya kepada proses keadilan," tegasnya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berharap tarikh baharu yang ditetapkan pada 17 April nanti akan menjadi tarikh muktamad bagi meneruskan proses rayuan.

"Tadi kami dimaklumkan tentang tarikh tentatif sahaja, belum ada pengesahan muktamad.

"Saya amat berharap agar tarikh ini tidak berubah lagi supaya proses ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Beliau turut membandingkan situasinya dengan kebiasaan kes perundangan lain di mana tertuduh lazimnya memohon penangguhan.

"Tetapi saya tidak pernah berbuat demikian. Rekod saya jelas menunjukkan saya tidak pernah cuba melengah-lengahkan perbicaraan.

"Saya berdoa agar pendakwa raya segera pulih serta menyeru semua pihak mendoakan agar kebenaran akhirnya ditegakkan," katanya.

Terdahulu, selepas dua hari hujahan rayuan berlangsung, Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding kepada 17 April depan.

Penangguhan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan beliau tidak dapat meneruskan hujahan kerana mengalami sakit tekak.

Ketika prosiding di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Wan Shaharuddin berkata banyak fakta yang perlu dihujahkan dan beliau memerlukan sekurang-kurangnya 45 minit untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, kesukaran untuk berbicara menyebabkan hujahannya tidak dapat diteruskan. - Sinar Harian