Ringkasan AI
- Dua bekas ahli Bersatu, Mohd Azizi dan Zahari, mungkin tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen mereka kerana bertanding atas tiket Pas, bukan Bersatu.
- Empat Ahli Parlimen lain dan seorang ADUN berkemungkinan menghadapi PRK kerana tidak lagi menjadi anggota Bersatu atas tindakan tidak patuh.
- Isu besar adalah jika kes ini dicabar di mahkamah, keputusan mengenai kekosongan kerusi mungkin bergantung pada budi bicara Speaker.
Timbalan Ketua Strategi, Ibu Pejabat Asia (UNSDSN), Sunway University, Prof Dr Wong Chin Huat berpandangan, ia kerana Ahli Parlimen Gua Musang dan Jeli itu bertanding atas tiket Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dan bukan Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.
Justeru, beliau menjelaskan Akta Anti Lompat Parti mungkin tidak terpakai untuk dua Ahli Parlimen berkenaan dan mereka mempunyai hujah untuk mempertahan kerusi masing-masing.
"Pada pendapat saya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri (Mohd Azizi) boleh lepaskan diri daripada kekosongan kerusi atas satu isu teknikal yang menarik.
"Beliau dan semua calon Bersatu di Kelantan dan Terengganu tidak bertanding atas tiket PN, sebaliknya mereka semua bertanding di atas tiket Pas. Jadi, bila kita kaji ungkapan dalam perkara 49(A) Klausa 1, mengatakan kerusi akan dikosongkan sekiranya seseorang ahli itu setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota sesuatu parti, dia melepaskan keanggotaan parti politik itu atau dia tidak lagi menjadi anggota parti itu.
"Apa maksudnya? Dalam kes Azizi, dia adalah ahli Bersatu dan PN tetapi dia bukan ahli Pas. Jadi dia tidak dipilih ke Dewan Rakyat sebagai ahli Pas atau sebagai Bersatu. Sebenarnya undang-undang anti lompat ini tidak terpakai ke atasnya.
"Bagi saya, beliau ada satu kes yang sangat berbeza bersama Ahli Parlimen Jeli (Zahari). Kedua-dua orang ini boleh menggunakan hujah yang lain untuk melepaskan diri," katanya dalam Program Pantau Agenda AWANI, pada Jumaat.
Bagaimanapun, penganalisis politik itu menjelaskan senario berbeza bagi empat lagi Ahli Parlimen dan seorang ADUN, yang berisiko untuk berdepan PRK di kawasan masing-masing.
Mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Manakala seorang lagi ADUN ialah Abdul Rashid Asari (Selat Klang).
"Saya rasa mereka perlu menghadapi PRK kerana mereka tidak boleh menggunakan alasan bahawa mereka telah dipecat oleh Bersatu.
"Di bawah undang-undang anti lompat parti, kalau dipecat mereka bebas tetapi mereka tidak dipecat. Apa yang berlaku adalah mereka tidak lagi menjadi anggota Bersatu kerana mereka melakukan tindakan ketidakpatuhan terhadap arahan Bersatu.
"Jadi ini adalah kesudahan atas tindakan mereka (pilihan raya kecil). Saya rasa kita seharusnya dapat lihat sekurang-kurangnya PRK berlaku di Perak, Labuan serta Selangor," jelas Chin Huat.
Namun, Chin Huat menambah satu isu besar yang perlu dihadapi adalah jika kes tersebut dicabar, apakah mahkamah akan mengambil pendirian untuk tidak mencampuri dan Speaker 'mempunyai hak mutlak' (untuk membuat pertimbangan kekosongan luar jangka).
"Kalau mereka ambil pendirian itu dan Bersatu gagal menukar pendirian Mahkamah Persekutuan, pada akhirnya PRK tidak akan berlaku. Itu bagi saya masalah besar bagi undang-undang anti lompat parti atau Perkara 49A Perlembagaan.
"Ini kerana ia tidak menyatakan secara jelas bahawa Speaker ada tujuan untuk melakukan apa yang dikehendaki oleh Perlembagaan iaitu menyatakan kekosongan kerusi sekiranya berlaku kekosongan seperti dalam kes empat Ahli Parlimen dan ADUN Selat Klang.
"Bagi saya itu menjadi masalah besar... Kalau speaker ada budi bicara tidak terikat (Perkara 49A Perlembagaan), maka Speaker lain akan buat keputusan yang lain.
"Akhirnya kita tidak ada satu undang-undang yang berkesan untuk menghindari gejala lompat parti sebaliknya kita akan mendapati undang-undang lompat parti menjadi satu senjata untuk 'menghukum' parti berlawanan tetapi memberi laluan kepada orang sendiri," kata Chin Huat.
Perkara 49A (3) memperuntukkan apabila Yang Dipertua menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat mengenai berlaku kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, Yang Dipertua hendaklah memastikan berlaku kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari daripada tarikh menerima notis bertulis itu.