Beliau dalam kenyataan hari ini berkata pemakluman kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen berkenaan, diberitahu menerusi surat bertarikh 11 Okt daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Menurut Johari, pemberitahuan itu selaras dengan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, berikutan keputusan Hakim Pilihan Raya pada 26 Sept, yang mengisytiharkan (keputusan) Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pilihan bagi kawasan Parlimen Kemaman pada 19 Nov 2022, adalah terbatal.
Beliau berkata penyandang kerusi Parlimen itu Che Alias Hamid daripada Pas, juga tidak mengemukakan rayuan yang berakhir semalam (10 Okt), selaras dengan Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Sehubungan itu, beliau berkata SPR akan mengadakan satu pilihan raya, bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan.
BACA: Mesyuarat khas SPR bagi urusan PRK Parlimen Kemaman 17 Okt
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept membatalkan kemenangan Che Alias di Parlimen Kemaman pada PRU15 selepas mendapati bantuan i-Belia dan i-Siswa diberi kerajaan negeri kepada pengundi semasa tempoh berkempen adalah rasuah.
Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Pada Jun lepas, kemenangan PN di Parlimen Kuala Terengganu turut dibatalkan atas alasan sama, namun Pas tidak merayu keputusan itu sekali gus membawa kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak dengan PRN di enam negeri lain pada bulan lepas.
-- BERNAMA