KUALA LUMPUR: Persatuan Hartanah Bumiputera menentang sekeras-kerasnya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) yang dibahaskan di Parlimen.


Ringkasan AI
  • Persatuan Hartanah Bumiputera menentang RUU Pembaharuan Semula Bandar kerana bimbang ia boleh menyebabkan pemindahan aset Bumiputera atas nama pembangunan.
  • Menteri Perumahan menegaskan RUU ini tidak akan meminggirkan mana-mana kaum dan bertujuan meningkatkan kualiti hidup di kawasan bandar.
  • Persatuan itu mendesak supaya semua pihak, termasuk wakil rakyat Melayu dan Bumiputera, diberi ruang untuk menyuarakan pandangan sebelum RUU diluluskan.


Presidennya, Datuk Seri Arifuddin Mohamed Shah berkata persatuan yang  mewakili Bumiputera seluruh Malaysia itu, merasakan usaha tersebut bertentangan dengan prinsip keadilan sosial yang menjadi asas kepada gagasan Madani, yang menegaskan tidak ada satu kaum pun yang patut dipinggirkan.

"Sebarang pegangan aset adalah mutlak dan pindahan pegangan haruslah mendapat kebenaran pemiliknya.

"Hukum asas ini harus ditegakkan terdahulu. Kebimbangan kami, akan ada pengambilan atau pemindahan aset yang melibatkan Bumiputera atas nama pembangunan.

"Kemajuan infrastruktur banyak bertumpu di pusat-pusat bandar. Pemindahan pemilikan aset Bumiputera untuk kemajuan bandar akan menyebabkan keterpinggiran akses kepada kemudahan-kemudahan infrastruktur tersebut, malah menjauhkan kaum Bumiputera daripada aktiviti ekonomi yg pesat tertumpu di bandar-bandar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nga Kor Ming ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat pada 19 Februari lalu berkata, RUU tersebut tidak akan meminggirkan, mengancam atau merampas hak golongan tertentu berdasarkan kaum atau pendapatan khususnya golongan B40.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menjelaskan, penetapan kriteria kawasan yang terlibat adalah berdasarkan kepada keadaan fizikal, infrastruktur, utiliti, sosial, dan pengurusan hartanah komuniti yang memberi kesan kepada kemerosotan kualiti hidup, ekonomi, dan persekitaran yang tidak lagi kondusif atau mendatangkan bahaya.

Mengulas lanjut, Arifuddin berkata Kor Ming sepatutnya memikirkan bagaimana untuk memastikan kaum Melayu dapat memiliki aset hartanah di dalam bandar, selaras dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu mengukuhkan kedudukan Melayu.

Persatuan Hartanah Bumiputera itu juga mempersoalkan mengapa RUU URA perlu dibentangkan ketika ini.

"Adakah kerana pemilihan parti DAP yang sedang berlangsung? Jangan gunakan RUU ini untuk kepentingan kamu. RUU ini harus mengambil kira pandangan daripada semua pemegang taruh termasuk persatuan kami.

"Di manakah suara wakil rakyat Melayu dan Bumiputera dalam hal ini? Mengapa ada pihak tertentu yang
senyap seribu bahasa? Kami ingin memberi peringatan bahawa perjuangan ini adalah untuk kita semua.

"Ini bukan hanya tentang kaum tertentu, tetapi tentang memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat hak mereka secara saksama," katanya lagi.