Langkah tersebut, jelas bekas Ketua Menteri Sabah itu bagi menambah pendapatan negara kerana institusi kewangan telah banyak kali meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
"Saya melihat mengapa pihak kerajaan untuk dapat hasil tidak melaksanakan pendekatan untuk mencukai institusi kewangan yang mempunyai keuntungan yang begitu banyak sejak COVID-19 sehingga sekarang.
"Adakah kerajaan akan mengambil langkah (mencukai) kerana 'downsizing' oleh pihak bank ini banyak, kurang tenaga, cawangan tutup... ini telah banyak untung," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Menjawab cadangan tersebut, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan tidak mengumumkan sebarang 'windfall tax' atau cukai durian runtuh ketika pengumuman Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.
Begitu pun, Ahmad (BN-Pontian) memberi gambaran bahawa Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan langkah yang perlu dilakukan oleh pihak bank yang memperoleh keuntungan besar pada penggulungan perbahasan Belanjawan 2023, Khamis ini.
"Walau bagaimanapun baru-baru ini Menteri Kewangan ada memberi arahan kepada institusi bank yang membuat keuntungan yang besar, mereka diminta untuk melakukan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada rakyat terutamanya B40.
"Itu juga sejenis bantuan yang akan diumumkan, kemungkinan apabila Kementerian Kewangan menggulung Belanjawan 2023 di peringkat dasar, dan apakah yang akan dibuat oleh pihak bank yang mendapat keuntungan besar untuk membantu CSR kepada rakyat," ujarnya.
Pada mesyuarat MPC terakhir pada Januari 2023, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar utama itu pada 2.75 peratus selepas membuat kenaikan 100 mata asas (bps) kumulatif sejak Mei 2022.