KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perniagaan Perkhidmatan Wang (Pindaan) 2024 dengan lebih suara bersetuju.

Ia diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying setelah jawatankuasa menimbang usul dicadangkan tanpa pindaan.

Lim berkata RUU itu bertujuan untuk mengukuhkan rangka kerja undang-undang sedia ada bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan dalam membanteras perniagaan perkhidmatan wang tidak berlesen (hawala) dan ketidakpatuhan undang-undang oleh pemegang lesen.

Katanya walaupun Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) memberi kesan positif dalam kalangan pemegang lesen, industri itu terus dibelenggu operasi perniagaan tidak berlesen.

"Pindaan ke atas RUU ini meliputi empat asas pertimbangan utama iaitu, keperluan untuk memperkukuhkan usaha membanteras perniagaan perkhidmatan wang tidak berlesen kerana kesan negatif yang ketara ke atas ekonomi negara dan mengambil kira pelbagai modus operandi Hawala bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya diambil ke atas aktiviti Hawala.

"Pindaan ini juga perlu bagi memastikan hukuman yang dikenakan dapat memberi kesan pencegahan yang efektif ke atas pesalah; dan pendekatan penguatkuasaan terhadap pemegang lesen perlu setimpal dengan tahap ketidakpatuhan dan mengambil kira tahap pematuhan industri yang semakin baik," katanya semasa mengusulkan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan yang dicadangkan juga bertujuan untuk memberikan kuasa kepada mahkamah yang di hadapannya pendakwaan telah dijalankan untuk membuat perintah pelucuthakan bagi apa-apa harta yang disita di bawah Akta 731.

Pindaan tersebut melibatkan Pindaan Am, Pindaan seksyen 1, seksyen 2, seksyen 4, seksyen 12, seksyen 23, seksyen 66, seksyen 66A, seksyen 86, seksyen 89A, seksyen 92 serta Pindaan jadual dalam RUU tersebut.

-- BERNAMA