NIBONG TEBAL: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang petugas kempen yang berkelakukan tidak senonoh terhadap seorang wartawan wanita yang bertugas dalam satu program di Sungai Kechil sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, setakat ini pihak polis sudah merekodkan keterangan tiga individu sebelum menyerahkan kes tersebut kepada pihak Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

Hamzah berkata, lelaki berusia 30 an itu masih direman selama dua hari namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk akan membuat kawad cam hari ini.

“Hari ini hari terakhir untuk reman dan di peringkat akhir siasatan. Kita perlu lengkapkan siasatan sebelum kita lanjutkan hasil siasatan kita untuk tindakan lanjut… buat masa ini kita sudah rekod tiga orang dan kita akan buat proses pengecaman kawad cam,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Daerah Seberang Perai Selatan ( SPS), di sini, pada Jumaat.

Difahamkan barangan peribadi suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu mengaibkan kehormatan seseorang dengan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau menunjukan apa-apa benda.

Pada Khamis, media melaporkan seorang wartawan wanita sebuah rangkaian televisyen tempatan membuat laporan polis berhubung insiden seorang lelaki yang juga petugas kempen Pakatan Harapan (PH) didakwa berkelakuan tidak senonoh ditempat awam.

Kejadian berlaku ketika pihak media sedang menemu ramah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada majlis perjumpaan pemimpin di Dewan Sungai Kechil, Sungai Bakap.