KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 sebulat suara selepas kali terakhir ia dipinda 20 tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Kelulusan RUU Akta Penagih Dadah: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 secara sebulat suara, selepas kali terakhir ia dipinda 20 tahun lalu.
  • Peranan Pegawai Pemulihan: RUU ini memartabatkan peranan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan memberi mereka kuasa untuk memperakukan rawatan dan pemulihan penagih dadah secara sukarela, selain daripada pegawai perubatan.
  • Pendekatan Nyahjenayah: RUU ini mengalihkan fokus daripada hukuman kepada rawatan dan pemulihan, memperluaskan akses kepada rawatan sukarela dan melibatkan pusat rawatan pemulihan dadah persendirian.


RUU tersebut diluluskan secara majoriti, dengan hampir 40 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang terlibat dalam sesi perbahasan selepas ia dibentangkan untuk bacaan kedua pada 9 Julai lalu.

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kelulusan RUU tersebut mampu memartabatkan peranan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tanpa mengenepikan tanggungjawab pegawai perubatan.

"(Menerusi RUU ini) kita naik taraf mereka (pegawai pemulihan) iaitu mereka mempunyai kuasa untuk memberi perakuan setelah mereka melakukan verifikasi terhadap klien yang datang secara sukarela untuk menerima rawatan dan pemulihan.

"Kalau sebelum ini satu sahaja (perakuan daripada) pegawai perubatan. Sekarang pegawai pemulihan boleh memperakukan setelah melakukan proses verifikasi," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata RUU tersebut juga dapat memperluaskan akses rawatan dan pemulihan khususnya secara sukarela dalam kalangan penagih atau penyalahguna dadah dan bahan.

Beliau menambah RUU tersebut kini dialihkan kepada nyahjenayah berbanding sebelum ini yang memberi penekanan kepada hukuman kepada pesalah dadah.

"Dengan penggemblengan ini, kami harap AADK dengan tugas hakiki untuk uruskan mereka yang terlibat dengan bahan, dadah atau penagihan itu dapat ditangani dengan jauh lebih efektif.

"Maksudnya mereka yang terlibat menagih atau menyalahguna bahan, kalau sebelum ini opsyennya satu (sahaja), iaitu pemenjaraan.

"Tetapi kali ini kita salurkan kepada rawatan dan pemulihan di bawah AADK. Bukan sahaja 30 AADK yang kita ada, tetapi juga ada pusat rawatan pemulihan dadah persendirian," ujar beliau.

Terdahulu, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementeriannya telah mengendalikan 13 sesi libat urus pada tahun ini, 22 libat urus (2023), 11 libat urus (2022), tujuh libat urus (2021) dan empat sesi libat urus (2020).

Ia bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dengan membuat perbezaan tafsiran antara penagih dadah atau bahan dengan penyalah guna dadah atau bahan, selain meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan.