KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 disifatkan sebagai membawa semangat yang jelas dalam usaha menyahjenayah atau dekriminalisasi penagih dan penyalah guna dadah serta bahan.


Ringkasan AI
  • Pendekriminalisasian Penagih dan Penyalah Guna Dadah: Pindaan RUU ini bertujuan menyahjenayah atau dekriminalisasi penagih dan penyalah guna dadah serta bahan. Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak lagi menghukum dengan penjara, tetapi memberi peluang kepada penagih untuk mendapat rawatan terbaik dan berfungsi sebagai manusia normal.
  • Komitmen Terhadap Pesakit: Dasar baharu ini selaras dengan prinsip dunia dan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) yang mengiktiraf penagih sebagai pesakit. Pindaan ini merupakan komitmen kerajaan dalam menguruskan individu yang mengalami masalah pergantungan kepada bahan terlarang.
  • Pemulihan dan Pengiktirafan Pusat Pemulihan Dadah: Pindaan RUU akan memperkuatkan peranan pegawai pemulihan AADK. Selain itu, ia akan memacu pengiktirafan pusat pemulihan dadah persendirian (PPDP) sebagai penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang bekerjasama dengan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).


Pakar Kaunseling Penagihan, Datuk Abd Halim Mohd Hussin berkata, ini kerana, dasar baharu yang dibawa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap kumpulan tersebut bukan lagi bersifat menghukum atau pemenjaraan, sebaliknya menyediakan ruang dan peluang seluas-luasnya untuk merawat pulih daripada penagihan atau penyalahgunaan bahan terlarang itu.

Beliau berkata perkara itu selari dengan prinsip kerajaan dan dunia menerusi United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) yang mengklasifikasikan penagih sebagai pesakit.

“RUU ini membawa ‘spirit’ yang jelas iaitu menyahjenayah atau usaha pendekriminalisasian agar semua individu yang menyalahgunakan bahan terlarang tidak dihukum penjara tetapi diberi peluang sebagai pesakit untuk mendapat rawatan yang terbaik bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai manusia normal.

“Tambahan pula, inisiatif pindaan RUU ini adalah sebagai terjemahan kepada komitmen kerajaan untuk melaksanakan amalan terbaik dalam menguruskan pesakit yang mengalami masalah pergantungan kepada bahan terlarang.

“Kita telah merancang untuk melaksana pindaan ini jauh lebih awal lagi, namun proses pemindaan mengambil masa kerana ia membabitkan libat urus yang komprehensif lagi menyeluruh,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Abd Halim yang juga bekas Ketua Pengarah AADK berkata, usaha pendekriminalisasian penagih atau penyalah guna dadah telah dibincang sejak 2016 melalui pelbagai platform termasuk siri wacana libat urus, sumbang saran berfokus, penilaian kebolehlaksanaan, kajian lapangan dan forum yang diadakan secara terbuka mahupun tertutup.

“Kita juga telah melaksanakan pelbagai siri simulasi pemakaian undang-undang pindaan ini sejak beberapa tahun lalu,” ujarnya.

Ditanya mengenai kebolehan pegawai pemulihan dalam memikul tanggungjawab sekiranya pindaan RUU ini diluluskan, tegas beliau, tiada keraguan terhadap kemampuan pegawai AADK untuk melaksanakan kerja-kerja rawatan dan pemulihan.

Kata beliau, perlu diketahui bahawa tugas pegawai AADK pada hakikinya ialah melaksanakan tugas mencegah, memulih dan menguatkuasakan undang-undang dalam bidang kuasa mereka.

“Cabaran yang dijangkakan ialah peningkatan klien atau pesakit yang tentunya memerlukan penambahan perjawatan serta naik taraf premis.

“Pindaan RUU ini juga akan menjadi pemangkin kepada pengiktirafan pusat pemulihan dadah persendirian (PPDP) sebagai penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang akan menjadi rakan kongsi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN),” jelasnya.

Sementara itu, beliau berharap agar pindaan RUU tersebut dapat diluluskan segera bagi membolehkan kerajaan menyelamat anak bangsa sekali gus menamatkan polemik kriminalisasi dalam kalangan pesakit.

“Setiap inisiatif mesti bermula daripada satu garis titik dan setelah kita melaksanakan, pastinya akan ada penambahbaikkan dalam kita membuat pertimbangan,” katanya lagi