Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran Fasa 1 akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion.
"Bayaran Fasa 1 ini akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion melibatkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang.
"Saya berharap, penyaluran awal ini membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat pada waktu ini," kata Perdana Menteri hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Wang Masuk) 2022 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa.
Bayaran berkenan yang akan disalurkan pada Januari, adalah penting untuk mempersiapkan anak-anak dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya, tambah Anwar.
"Selain keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan dan pembelian buku teks, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa pada bulan Januari 2023," ujar Perdana Menteri.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan juga bercadang untuk menyalurkan Bantuan Tambahan sebanyak kepada pekebun kecil getah pada Januari ini.
Langkah tersebut, kata Perdana Menteri, bagi memastikan kebajikan para pekebun kecil getah sewaktu musim tengkujuh ini.
"Setakat ini, kerajaan telahpun menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi bulan November dan Disember dengan bantuan keseluruhan RM600 kepada hampir 320,000 pekebun kecil getah," kata Anwar lagi.
Penjawat awam
Sementara itu, Anwar berkata, Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 akan diteruskan.
Perdana Menteri, berkata Bantuan Khas Kewangan turut disalurkan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700, manakala dan sebanyak RM350 kepada satu juta pesara kerajaan.