KUALA LUMPUR: Dasar Reka Bentuk Seni Bina Negara sedang dirangka dalam usaha memperkasa reka bentuk seni bina sesebuah bangunan menggambarkan identiti Malaysia.

Presiden Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) Datuk Azman Md Hashim berkata ketika ini usaha mempromosikan penggunaan reka bentuk bercirikan identiti Malaysia bagi sesebuah projek juga sedang giat dilaksanakan.

"Kita sekarang di LAM kita cuba galakkan penggunaan reka bentuk yang menggambarkan identiti Malaysia, kita mahu Malaysia ada identiti reka bentuk kita sendiri dalam setiap bangunan.

"Kita tidak mahu ambil satu reka bentuk dari negara luar, bawa masuk ke Malaysia dan kita kata itu 'reka bentuk Malaysia', kita tidak mahu begini sebab kita ada budaya kita sendiri...jadi inilah yang kita sedang buat iaitu merangka Dasar Reka Bentuk Seni Bina Negara yang akan menggembleng untuk menjadikan sebuah pembangunan atau bangunan itu berdaya saing dan bercirikan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir di Bernama Radio, pada Selasa.

Mengulas peranan dan fungsi LAM, Azman berkata LAM bukan hanya mendaftarkan profesion bagi seseorang individu yang ingin menjadi arkitek mahupun pereka bentuk hiasan dalaman, tetapi juga bertanggungjawab mengeluarkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan bagi sesebuah projek.

"Sijil yang kita keluarkan ini untuk kita pastikan sesebuah projek itu disiapkan dengan sempurna sebelum diberikan pensijilan, sebab itu objektif penubuhan LAM ini banyak dan salah satu paling utama adalah untuk menjaga keselamatan dan kepentingan pihak awam," katanya.

Dalam pada itu, Azman turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan iklan yang mempromosikan perkhidmatan seni bina atau reka bentuk dalaman di media sosial kerana kegiatan itu menyalahi undang-undang yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

"Kalau kita tengok iklan-iklan promosi seperti ini...ia dibuat oleh individu yang tidak berdaftar untuk memberikan perkhidmatan rekaan dalaman termasuk mereka bentuk binaan bangunan. Kita akan ambil tindakan tegas terhadap perkhidmatan seperti ini," katanya.

-- BERNAMA