DAP mendakwa bahawa kerajaan Selangor telah 'gagal' untuk menegakkan hak-hak minoriti berikutan langkah oleh Persatuan Bible Malaysia ( BSM) untuk memindahkan pejabatnya ke Kuala Lumpur.

Dua pemimpin DAP Selangor hari ini menyatakan kekecewaan atas "sikap acuh tak acuh" kerajaan negeri Selangor ke atas perkara itu, terutamanya oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Menteri Besar telah mengecewakan Pakatan Rakyat... beliau telah gagal untuk menegakkan ikrar asas kami untuk menegakkan hak-hak minoriti di Selangor yang berbilang budaya, berbilang kaum dan berbilang agama," kata Timbalan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan.

Gobind menggesa Khalid untuk mengambil tanggungjawab penuh ekoran ‘kegagalan’ Selangor untuk menyelesaikan masalah ini yang mengakibatkan BSM berpindah dari Selangor ke Kuala Lumpur untuk mengelakkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor ( JAIS ).

Pada bulan Januari, JAIS telah menggeledah BSM dan merampas lebih dari 300 Al-Kitab versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi perkataan "Allah".

Baru-baru ini, Khalid berkata kerajaan negeri telah memutuskan untuk tidak campur tangan dalam isu tersebut. Beliau mengatakan bahawa ia terpulang kepada BSM untuk menulis secara rasmi kepada Peguam Negara (AG) bagi memulangkan buku-buku tersebut.

BSM semalam berkata ia akan memindahkan ibu pejabatnya ke Kuala Lumpur yang diperintah oleh kerajaan persekutuan supaya mendapatkan "perlindungan yang lebih baik " dan mengelakkan daripada disita pihak berkuasa agama.

Gobind mempersoalkan sama ada Khalid masih "layak dan mampu" meneruskan tugas sebagai menteri besar Selangor. Beliau mendakwa bahawa perkara ini membuktikan Khalid tidak ada keupayaan untuk memahami dan menyelesaikan masalah.

Gobind juga berkata bahawa keadaan ini akan memberi kesan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua pula berkata kerajaan Selangor tidak boleh leka walaupun menang dengan majoriti besar pada pilihan raya umum lepas.

Katanya, kerajaan Selangor telah mengeluarkan beberapa kenyataan mengenai insiden ini tetapi telah gagal memberi penekanan yang ketara atau pro-aktif dalam mencapai satu penyelesaian yang boleh diterima semua pihak, atau sekurang -kurangnya, mempertahankan hak-hak mangsa.

"Keputusan BSM untuk berpindah itu memalukan bukan sahaja kerajaan negeri tetapi juga Pakatan Rakyat,” kata Pua.

Pua berkata bahawa kedudukan Pakatan Rakyat keatas istilah " Allah" adalah jelas, iaitu istilah itu boleh digunakan oleh agama lain seperti Kristian dan Sikh - kerana ia telah diguna selama berabad-abad, tetapi tidak boleh disalahgunakan.

“Khususnya , istilah itu tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan menyebarkannya kepada umat Islam, kedudukan yang kita hormati sebagai sebahagian daripada Perlembagaan, " katanya.

Pua menggesa kerajaan negeri Selangor untuk " memaparkan keberanian politik dan menunjukkan kepimpinan moral”, serta memberi amaran bahawa jika Pakatan gagal untuk menunjukkan satu contoh yang baik, cita-cita untuk menguasai kerajaan persekutuan tidak akan menjadi kenyataan.