SUNGAI PETANI: “Damailah kau di sana perwiraku.”

Demikian nada pilu Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir, 29, isteri kepada, Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, anggota tentera Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) yang maut dihempap pokok ketika operasi di pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak.

Menurutnya dia sekeluarga reda dengan pemergian suaminya itu kerana kematiannya ketika menjalankan tugas dan kebetulan jatuh pula pada Hari Raya Aidiladha.

Katanya, dia mengetahui kematian suaminya itu selepas bapanya menerima panggilan daripada adiknya yang bertugas bersama Allahyarham di 2 RAMD, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang memaklumkan kejadian berkenaan, 10 pagi Ahad.

Siti Nafishah yang juga anggota tentera bertugas di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani berkata, kali terakhir dia bertemu arwah Kamal pada sehari sebelum suaminya melaporkan diri di Kem Sungai Ara.

“Allahyarham lapor diri pada 30 Jun lalu dan sepatutnya pulang 1 September depan.

“Sebelum dia (Allahyarham) bertolak dia sempat berpesan kepada anak sulung kami Muhammad Nabil Khalaf, 5, supaya menjaga ibu, adik, datuk dan ahli keluarga lain dengan baik.

“Suaminya tidak menunjukkan tanda kelainan dan berkelakuan seperti biasa malah Allahyarham turut berpesan supaya menunggu kepulangannya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Ria Jaya di sini.

Siti Nafishah ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Ria Jaya di Sungai Petani. - Foto Astro AWANI



Siti Nafishah berkata hasil perkongsian hidup bersama suami mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Nabil Khalaf dan Muhammad Nur Fariman, 2.

Jenazah Sarjan Mohd Kamal selamat dikebumikan mengikut istiadat pengkebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa, Sungai Petani, malam tadi.

Sarjan Mohd Kamal bersama Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, meninggal dunia akibat dihempap pokok ketika menjalani operasi di Hutan Belum, Gerik pada Ahad.

Jenazah Sarjan Mohd Kamal selamat dikebumikan mengikut istiadat pengkebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa, Sungai Petani, malam tadi. - Foto Astro AWANI