"Dah kering air mata mak cik mengenangkan nasib bakal dilalui anak.
"Mak cik hanya mampu berdoa, agar ALLAH mudahkan urusannya dalam hadapi saat getir ketika ini," demikian kata Maimunah Saman, 79, ibu kepada Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Menurut Maimunah, walaupun pelbagai tuduhan dan cacian dilemparkan terhadap Jamal, namun dia dan keluarga tetap menganggap anak keenam daripada sembilan beradik itu sebagai seorang yang bertanggungjawab.
"Sebenarnya orang tak mengenali Jamal, mereka cakap sesuka hati dan tuduh macam-macam.
"Mak cik tak marah apa yang diperkatakan itu, malah jauh sekali nak kecil hati kerana anggap ini hanya ujian buat kami sekeluarga," katanya.
Menurutnya, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu juga disifatkan anak yang penyayang dan seorang yang mengambil berat.
"Kalau mak cik sakit, dialah yang dulu datang hulur bantuan. Dia akan pastikan mak cik mendapat rawatan terbaik di hospital swasta.
"Bila dia pulang ke rumah, tentunya tak lekang di bibirnya supaya mak cik mendoakan perjalanan kehidupannya sambil memeluk dan mencium tangan mak cik bagi memohon restu," katanya.
BACA: Jamal Yunos ditangkap ketika sedang gunting rambut
BACA: Jamal Md Yunos ditangkap pihak berkuasa Indonesia
Maimunah berkata, dia tidak lagi bertemu Jamal yang menghilangkan diri sejak selepas PRU14 lalu.
"Lebih sebulan mak cik jatuh sakit sebab terlalu rindukan Jamal. Biar apa pun orang cakap tentang Jamal, mak cik tetap anggap dia anak terbaik," katanya.
Maimunah turut berharap penahanan anaknya tidak dipanjangkan memandangkan beliau sudah lama tidak pulang berjumpa keluarga.
Katanya, dia terkejut selepas menerima berita Jamal ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) jam 6.15 petang, semalam.
Kakak kepada Jamal, Datin Maskiah Md Yunos, 57, berkata, dia berharap agar masyarakat tidak menghukum sendiri adiknya yang dilihat seolah melakukan kesalahan besar di negara ini.
"Bagi saya, Jamal meletakkan kepentingan rakyat dan negara jauh kehadapan berbanding dirinya sendiri.
"Contohnya, isu pesta arak, saya lihat Jamal lantang dan mengutuk sekeras-kerasnya perkara ini, sehingga tiada lagi pesta dilakukan secara terang terangan.
"Saya mengharapkan kerajaan hari ini memaafkan kesalahan dia.
"Dia tidak menimbulkan sebarang keganasan hingga mendatangkan mudarat dan mengancam keselamatan kepada masyarakat dan negara," katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Jamal ditahan Pplri pada 6.15 petang.
Muhyiddin berkata, PDRM telah dihubungi untuk menyelaras urusan membawa pulang Jamal ke negara ini.
Jamal, 48, dilapor menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei lalu dengan kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.
Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor pada 5 Oktober tahun lalu.
Selain itu, beliau turut disiasat atas beberapa kes lagi termasuk di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960.