Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan tiada kes yang berpunca daripada pengendalian pesakit disahkan positif dari wad COVID-19 dan unit rawatan rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakan kes di HUS berkait rapat dengan kluster terbesar di Kuching, iaitu kluster persidangan keagamaan di sebuah gereja.

"Sehingga semalam, seramai 2,003 orang kontak rapat telah dikenal pasti susulan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif yang dijalankan oleh KKM.

"Kita juga mendapati 1,950 anggota kesihatan negatif ujian pengesanan COVID-19.

"Susulan penularan jangkitan ini, langkah mengekang dengan ketat sedang dijalankan, termasuk proses nyah cemar di semua kawasan berkaitan dan aktiviti mobilisasi anggota dari hospital dan klinik kesihatan berdekatan," katanya dalam sidang media harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham meminta semua anggota kesihatan yang terbabit menjalani ujian saringan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya telah memulakan aktiviti perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan
psikososial (MHPSS) di semua fasiliti kesihatan KKM termasuk bantuan awal psikologi secara individu dan berkumpulan.

"Sokongan emosi dan kaunseling kepada anggota-anggota kesihatan turut diberikan melalui perkhidmatan
atas talian yang telah diwujudkan di peringkat hospital dan negeri," ujarnya.