KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kekal mencatat kemajuan memberangsangkan apabila hampir 7.4 juta dos vaksin sudah diagihkan setakat ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sejumlah 168,956 dos diberikan di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara pada Ahad.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan vaksin yang sudah diagihkan meningkat kepada 7,395,905 dos, menurut perkongsian grafik terbaharu di Twitter beliau pagi ini.

Daripada jumlah itu, katanya, lebih 5.3 juta atau 16.3 peratus individu sudah menerima dos pertama, manakala 2.08 juta atau 6.4 peratus lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Sementara itu, jumlah pemberian vaksin pada Ahad menurun lagi kepada 168,956 dos berbanding 187,877 pada hari sebelumnya. 

Ia mencatatkan penurunan dua hari berturut-turut selepas lima hari berturut-turut sebelum itu mencatatkan angka melebihi 200,000.

Kadar pemberian vaksin harian tertinggi dicatatkan adalah 268,604 dos pada 24 Jun lalu.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dikongsi Dr Adham menunjukkan Sarawak kekal penerima tertinggi dos pertama vaksin dengan 953,982.

Ini diikuti Kuala lumpur 932,659, Selangor (851,118), Johor (430,145), Sabah (372,421), Perak (304,672), Pulau Pinang (265,670), Kedah (224,536), Kelantan (203,288), Pahang (197,704), Negeri Sembilan (165,697), Terengganu (143,387), Melaka (129,604), Perlis (66,106), Putrajaya (36,279) dan Labuan (31,581).