Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata persidangan itu yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square di sini, antara lain akan menampilkan Prof Klinikal dari Stanford Health Care California Dr Rania Awaad yang akan berkongsi pengalaman peribadinya.
"Dr Rania merupakan cendekiawan Islam dihormati yang akan berkongsi pandangannya. Kita ingin dengar sendiri daripadanya, supaya peserta dapat bawa pulang asas-asas praktikal yang dipelajari, kerana adalah penting bagi kita menggalakkan rakyat belajar sesuatu untuk diamalkan.
"Bidang ini akan menarik minat ramai wanita, terutama dengan melihat kepada cabaran yang dihadapi mereka pasca wabak COVID-19. Kerajaan komited menangani isu-isu ini," katanya semasa tetamu dalam program The Nation di Bernama TV hari ini.
Selain kesihatan mental, Nancy berkata kementeriannya juga memainkan peranan berterusan dalam melibatkan kementerian lain untuk berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk menyokong kemandirian ekonomi wanita melalui program seperti Wanita Bangkit.
"Sebagai kerajaan, kita perlu merangka polisi bagi memastikan setiap orang dilayan secara adil berdasarkan undang-undang. Program motivasi dan segala-galanya perlu dilakukan dengan teratur bagi memastikan semua aspek diliputi seluas mungkin," katanya sambil menambah Wanita Bangkit sehingga kini telah melibatkan lebih daripada 19,000 peserta.
-- BERNAMA