KUALA LUMPUR: Kementerian kesihatan menerima peruntukan sehingga RM45.3 bilion dengan fokus menaik taraf prasarana, rawatan penyakit kritikal, dan program penjagaan kesihatan.

Ini antara pecahan peruntukan sektor kesihatan:

1. RM45.3 bilion untuk Kementerian Kesihatan

Kementerian Kesihatan mendapat peruntukan kedua tertinggi dalam Belanjawan 2025, iaitu RM45.3 bilion, meningkat berbanding RM41.2 bilion pada tahun sebelumnya. Dana ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan sistem kesihatan negara.

2. RM1.35 bilion untuk penyelenggaraan prasarana kesihatan

Sebanyak RM1.35 bilion diperuntukkan bagi menyelenggara prasarana kesihatan, termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad pesakit yang usang. Ini memastikan keselesaan dan keselamatan pesakit serta kakitangan hospital.

3. Peningkatan peruntukan untuk klinik daif di Bawah MADANI

Kerajaan terus komited menaik taraf klinik-klinik daif di seluruh negara. Peruntukan ini meningkat dari RM100 juta pada 2023, kepada RM150 juta pada 2024, dan RM300 juta untuk tahun 2025, di bawah inisiatif MADANI.

4. War on Sugar: Duti eksais minuman bergula dinaikkan

Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara. Kerajaan akan menaikkan duti eksais untuk minuman bergula sebanyak 40 sen seliter, sebagai langkah memerangi penyakit tidak berjangkit mulai 1 Januari 2025,

5. Tambahan bekalan ubat dan rawatan dialisis untuk pesakit buah pinggang

Tambahan hasil daripada duti eksais minuman bergula akan digunakan untuk menambah bekalan ubat SGLT-2 inhibitor untuk rawatan diabetes dan menyediakan rawatan dialisis peritoneal kepada lebih ramai pesakit buah pinggang.

6. RM27 juta untuk aktiviti sukan dan riadah

Sebagai sebahagian daripada Agenda Nasional Malaysia Sihat, kerajaan memperuntukkan RM27 juta untuk merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah, termasuk penganjuran Hari Sukan Negara, bagi menggalakkan gaya hidup sihat.

7. Pelepasan cukai untuk ujian kesihatan dan kit ujian pengesanan penyakit

Kerajaan bercadang memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu untuk perbelanjaan perubatan, meliputi bayaran ujian pengesanan penyakit dan pembelian peralatan kesihatan, sebagai galakan untuk penjagaan kesihatan kendiri.

8. Kerjasama awam-swasta untuk perkhidmatan kesihatan lebih berdaya tahan

Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif "Ikhtiar Rakan KKM" dengan kerjasama GLIC, yang menyediakan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan di lima hospital awam, termasuk Hospital Cyberjaya, dengan peruntukan awal RM25 juta.

9. Pusat kecemerlangan kesihatan diperkasa

Kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta untuk mengukuhkan pusat-pusat kecemerlangan kesihatan seperti Hospital Serdang, Hospital Selayang, dan Institut Kanser Negara. Kerja-kerja awal juga sedang dijalankan bagi menubuhkan Pusat Kanser di Kuching dan Hospital Pakar Jantung di Kota Kinabalu.

10. Tabung penyakit jarang jumpa ditingkatkan kepada RM25 Juta

Kerajaan meningkatkan peruntukan Tabung Penyakit Jarang Jumpa kepada RM25 juta untuk menampung kos perubatan penyakit jarang jumpa. Skim Mysalam turut diperluas untuk meliputi penyakit jarang jumpa dan Rheumatoid Arthritis, dengan sumbangan kepada tabung ini layak mendapat potongan cukai.

Ini merupakan kali ketiga Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.