Ringkasan AI
- Pindaan Perundangan: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum bersedia untuk meminda perundangan berkaitan kes jenayah oleh pesakit mental. Perkara ini memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut.
- Pengesahan Pakar: Menentukan seseorang mengalami masalah mental memerlukan pengesahan daripada pakar, dan setiap kes perlu difahami dengan teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
- Isu Serius: Isu ini dianggap serius dan perlu diselesaikan segera berdasarkan garis panduan sedia ada, dengan rujukan kepada penasihat perundangan kementerian.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, perkara berkenaan akan diperhalusi sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.
"Semua berkaitan soal pindaan sebarang perundangan sedia ada ini perlu diteliti dengan cermat dan kita pastinya akan memasukkan dalam perbincangan mesyuarat pasca Kabinet KKM.
"Namun kita perlu merujuk kepada penasihat perundangan kementerian. Masih terlalu awal untuk membincangkan perihal pindaan sebarang perundangan berkaitan.
"Pastinya ini adalah satu isu serius dan kita akan melihat secara menyeluruh termasuk keperluan pindaan perundangan atau sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024, di sini, pada Sabtu.
Jelas Dr Dzulkefly, alasan sedemikian bukan satu isu berbangkit kerana untuk menentukan seseorang itu mengalami masalah mental memerlukan pengesahan pakar.
“Jadi apa yang lebih mustahak adalah untuk memahami setiap kes terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan kerana untuk tentukan tahap kesihatan seseorang bukan semudah itu,” ujarnya.
Namun dalam masa sama beliau mengakui isu sedemikian perlu segera dinoktahkan berlandaskan garis panduan sedia ada.
Terdahulu, majlis perasmian MIH Megatrends 2024 dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta KPJ Healthcare disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.