Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Bank Islam Malaysia Bhd, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, belanjawan berkenaan mengukuhkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan mampan dan keadilan.
"Kami menyokong dana kerajaan berjumlah RM100 juta untuk memacu inovasi dalam kewangan Islam, yang akan melahirkan produk berdasarkan prinsip Islam sebenar, seperti musyarakah (perkongsian risiko) dan pengagihan keuntungan yang saksama, di luar daripada pilihan patuh Syariah yang biasa," katanya.
Beliau dalam kenyataan berkata, belanjawan itu turut selari dengan tumpuan Bank Islam terhadap kewangan mampan.
Mohd Muazzam berkata, Bank Islam juga menjadi lebih bersemangat dengan sokongan berterusan kerajaan terhadap inisiatif iTekad.
Peruntukan geran padanan berjumlah RM20 juta, dengan RM5 juta dikhususkan untuk menyumbang kepada caruman insurans atau takaful bagi usahawan mikro, akan mengukuhkan lagi usaha untuk meningkatkan dan memperkasa segmen penting ekonomi.
Sementara itu, CEO Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Roni Abdulwahab berkata, bank itu diberikan mandat untuk memperuntukkan sehingga RM6.4 bilion bagi membiayai pembiayaan bersasar projek-projek pembangunan berimpak tinggi melalui tujuh program strategik.
"Daripada RM6.4 bilion modal yang diperuntukkan oleh BPMB, RM1.0 bilion akan dikhaskan untuk dua program fokus iaitu program pembangunan ekonomi bumiputera dan program tenaga boleh baharu (TBB) dan peralihan," katanya.
Menurutnya, lima lagi program BPMB dalam Belanjawan 2025 adalah program pembangunan MADANI, program pengangkutan dan logistik, program pembangunan lestari dan peralihan, program infrastruktur digital dan sektor berimpak tinggi serta program akses modal.
Sementara itu, Hong Leong Islamic Bank Bhd turut menyatakan sokongan terhadap pelbagai insentif untuk memacu pelaburan dan perniagaan, selaras dengan Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030.
Bank itu turut berharap untuk memainkan peranan aktif dalam menyokong wawasan kerajaan demi masa depan yang lebih makmur dan inklusif, terutama dalam mengukuhkan ekosistem kewangan dengan tumpuan kepada TBB dan ekonomi hijau, katanya.
Penekanan kepada dasar menaikkan siling melalui inisiatif yang menggalakkan daya saing dan aktiviti nilai tambah adalah sejajar dengan tumpuan Hong Leong Bank dalam menyokong perniagaan dan memacu inovasi dalam sektor utama.
Mengenai pengenalan cukai karbon ke atas sektor besi, keluli dan tenaga di Malaysia menjelang 2026, CEO Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Novan Amirudin memuji langkah berani kerajaan untuk mengembangkan asas cukai secara kreatif dengan memperkenalkan cukai karbon dan dividen serta meluaskan skop cukai jualan dan perkhidmatan.
"Langkah ini, di samping pengurangan subsidi menyeluruh dan pelaksanaan pelan tindakan strategik seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura akan memberi kerajaan lebih kuasa untuk berbelanja mengikut keperluan bagi merangsang ekonomi, meraih kemakmuran bersama dan seterusnya memacu pelaburan langsung asing," katanya.
CEO UOB Malaysia, Ng Wei Wei pula berkata, cukai itu adalah langkah penting ke arah menggalakkan teknologi rendah karbon.
Menurutnya, langkah itu adalah sejajar dengan peraturan alam sekitar, sosial dan tadbir urus antarabangsa lain, seperti mekanisme pelarasan sempadan karbon Kesatuan Eropah, menunjukkan komitmen tegas kerajaan terhadap penyahkarbonan.
"Secara keseluruhan, belanjawan komprehensif ini meletakkan asas kukuh bagi daya tahan dan pertumbuhan, dan UOB Malaysia komited untuk menyokong Malaysia dalam fasa pembangunan seterusnya," katanya. - BERNAMA