Perkara itu disahkan oleh anggota biro politik Hamas Khalil al-Hayya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi akaun Telegram Brigade al-Qassam Hamas pada Jumaat.
"Yahya Sinwar telah menjadi pejuang yang syahid dalam keadaan bertempur berhadapan dengan tentera Israel sehingga ke nafas yang terakhir," katanya.
Pada Khamis media antarabangsa melaporkan Yahya Sinwar terbunuh di Semenanjung Gaza akibat serangan Israel.
Allahyarham Yahya merupakan ketua arkitek serangan Palestin pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang di Gaza.
Pemergian Yahya disifatkan Khalil memberi tamparan hebat kepada kumpulan pejuang itu yang menghadapi serangan udara tanpa henti sejak ia menyerang Israel, Oktober 2023.
Yahya juga akan sebagai pejuang yang kejam oleh musuh Hamas dan tentera Israel yang pernah memenjarakannya selama bertahun-tahun.
Allahyarham dinamakan Ketua Utama kumpulan itu pada 6 Ogos lalu sebagai pengganti kepada bekas ketua politik, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran pada 31 Julai lalu.
Sejak sekian lama, Yahya menjadi sasaran Israel yang memburu dan mahu membunuhnya sejak permulaan perang.
Dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza Khan Younis, Sinwar, 62, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.
Pemimpin itu menghabiskan separuh umur dewasanya di penjara Israel dan merupakan pemimpin Hamas paling berkuasa ketika hayatnya selepas pembunuhan Ismail. - Agensi