Menurut Halevi, ini kerana pihak Israel berjaya menemui rangkaian kepimpinan atasan Hezbollah.
"Di utara, ada kemungkinan untuk mencapai 'pengakhiran tajam'. Kami telah membongkar dengan teliti rangkaian kepimpinan atasan Hezbollah," kata Halevi dalam video yang dirakam semasa lawatan penilaian keselamatan di Gaza pada Rabu.
Dalam video sama, Halevi turut mengulas mengenai pembunuhan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar.
"Pembunuhan Sinwar tidak dirancang, begitu juga dengan kehadiran pasukan Briged ke-450 dan unit kursus komander tank, mereka tidak tahu siapa yang mereka sasarkan. Ia tidak dirancang, tetapi juga bukan secara kebetulan.
"Ia bukan sesuatu yang terjadi secara kebetulan. Ia adalah hasil tekanan di Rafah, hasil daripada pembongkaran Briged Rafah. Ia juga adalah hasil daripada arahan komando wilayah yang berkeras untuk mengerahkan lebih banyak pasukan ke sana dalam bulan perayaan ini, mendorong lebih jauh ke hadapan, mengekalkan kawalan operasi ke atas wilayah tersebut, dan menghadapi masalah secara langsung. Ia adalah suatu yang sistematik, bukan kebetulan," katanya.
Israel melancarkan serangan paling ganas di pinggir bandar selatan Beirut sementara Hezbollah pula memaklumkan menembak peluru berpandu buat pertama kali terhadap sasaran di Israel pada Rabu.
Serangan balas kedua-dua pihak itu berlaku ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken melawat wilayah itu, bagi mendesak untuk menghentikan pertempuran di Gaza dan Lubnan.