RAFAH: Buku doa dan tasbih merupakan antara barangan peribadi yang ditemui bersama jasad pemimpin Hamas, Yahya Sinwar yang terbunuh selepas diserang oleh rejim Israel.

Selain kedua barangan itu, turut ditemukan ialah jam tangan, pita pelekat, gula-gula, kad Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), wang tunai serta beberapa barangan lain.

Barangan tersebut ditemui bersama jasad Sinwar di Tal-Al-Sultan, Rafah di Gaza Selatan.
Israel mendedahkan rakaman video memaparkan barangan milik pemimpin Hamas itu selepas beliau syahid akibat dibunuh pada Khamis lalu.


Menurut laporan, Allahyarham Yahya Sinwar dipercayai berada jauh daripada kawasan tumpuan awam sekali gus menafi dakwaan Israel bahawa beliau berada di kawasan orang ramai yang kononya untuk dijadikan perisai.

Bahkan, kematian beliau juga menunjukkan beliau menjalani hari-hari terakhirnya tanpa makanan.

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan Yahya Sinwar telah dibunuh pada Khamis selepas Israel menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan menggunakan rekod gigi untuk mengesahkan identitinya.

Hasil bedah siasat oleh Pusat Perubatan Forensik Kebangsaan Israel mendapati, Yahya Sinwar terbunuh kerana terkena tembakan di kepala.

Yahya Sinwar dinamakan sebagai Ketua Utama kumpulan itu pada 6 Ogos lalu sebagai pengganti kepada bekas ketua politik, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Teheran pada 31 Julai lalu.

Sejak sekian lama, Yahya Sinwar menjadi sasaran Israel yang memburu dan mahu membunuhnya sejak permulaan perang.

Dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza Khan Younis, Sinwar, 62, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.

Pemimpin itu menghabiskan separuh umur dewasanya di penjara Israel, adalah pemimpin Hamas paling berkuasa ketika hayatnya selepas pembunuhan Haniyeh. - Agensi