KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menyifatkan Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Jumaat mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap tanggungjawab fiskal dan pertumbuhan seimbang, sambil memperkukuhkan daya tahan Malaysia terhadap ketidaktentuan global.

Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Khazanah dan syarikat-syarikat portfolionya kekal selaras dengan visi Belanjawan 2025 dan sedia menyokong agenda yang berpandangan jauh.

“Sejajar dengan ini, kami akan terus memacu peruntukan modal yang strategik, membangunkan modal insan yang berkualiti tinggi, memperkasa syarikat permulaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperjuangkan kelestarian, dan melaksanakan inisiatif CSR yang bermakna.

“Ini termasuk, seperti yang dinyatakan dalam ucapan belanjawan, komitmen RM1 bilion kami kepada National Fund-of-Funds (NFOF) yang bertujuan untuk menyokong pertumbuhan dana modal teroka di Malaysia, komitmen RM1 bilion untuk mengukuhkan industri semikonduktor Malaysia selaras dengan inisiatif GEAR-uP oleh Kementerian Kewangan.

“Selain itu, komitmen RM1 bilion untuk membangunkan syarikat peringkat pertengahan di Malaysia, dan menyokong agenda budaya serta warisan Malaysia melalui pemulihan tapak warisan ikonik seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan bangunan Carcosa Seri Negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah, Belanjawan 2025 juga mengukuhkan tumpuan kerajaan terhadap kelestarian fiskal, pertumbuhan inklusif dan dasar transformasi ekonomi.

Ia sekali gus mencapai keseimbangan yang tepat untuk memperkukuhkan daya tahan Malaysia di tengah-tengah ketidaktentuan global.

“Ini selaras dengan matlamat Khazanah untuk menyampaikan nilai mampan bagi negara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Amirul Feisal berkata, menyedari kepentingan pembangunan modal insan, Khazanah akan melabur RM200 juta dalam Program Pembangunan Belia K-Youth, dan mewujudkan peluang untuk 11,000 belia Malaysia dalam sektor utama seperti semikonduktor.

Menurutnya, Khazanah kekal komited untuk memajukan pertumbuhan mampan selaras dengan agenda kerajaan berkenaan kelestarian dan peralihan tenaga.

Melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan UEM Lestra Berhad, ujar beliau pihaknya akan melabur untuk menaik taraf rangkaian penghantaran dan pengagihan serta berusaha mempercepatkan penyahkarbonan taman perindustrian di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 yang tertinggi yang pernah diumumkan iaitu RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion untuk pembangunan serta tidak termasuk RM2 billion simpanan luar jangka.