KUALA LUMPUR: Negara merekodkan kes harian tertinggi dengan pertambahan angka 23,564 pada Jumaat.

Menurut Kementerian Kesihatan, daripada 23,564 kes harian yang dilaporkan itu sebanyak 431 kes (1.8 peratus) adalah daripada kategori 3 (penyakit radang paru-paru), 4 (penyakit radang paru-paru dan memerlukan oksigen) dan 5 (kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan).

Manakala sebanyak 23,133 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2 iaitu mereka yang tidak mempunyai gejala dan mempunyai gejala ringan.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan.

“Namun, ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, 19,362 kes (82.2 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” jelas kementerian itu.


Juga dilaporkan, daripada 233 kes kematian pada Jumaat, 101 kes daripadanya melibatkan kes kematian di Selangor, 31 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 23 kes di Johor, 17 kes di Sabah, 16 kes di Perak, 15 kes di Pulau Pinang, 11 kes di Negeri Sembilan, sembilan kes di Kedah, empat kes di Terengganu, serta masing-masing tiga kes di Kelantan dan Pahang.