MELAKA: Sebanyak 11 sekolah di Melaka diarah tutup selama lima hingga tujuh hari susulan peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan pelajar serta guru.

Exco Pendidikan negeri, Datuk Rais Yasin berkata langkah itu dibuat berpandukan saranan dan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Beliau berkata, sehingga semalam seramai 1,258 murid dan pelajar disahkan positif COVID-19 sejak pembukaan sesi persekolahan pada Januari lalu.

“Meskipun tiada kes kritikal yang dilaporkan dalam kalangan pelajar sekolah di Melaka, tetapi isu penularan wabak COVID-19 di sekolah ini sentiasa diberikan perhatian penuh oleh semua jabatan yang terlibat.

“Bagaimanapun sesi persekolah tetap diteruskan dengan kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang mana kita tidak mahu pelajar tertinggal jauh lagi dalam pelajaran,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ning, SK Paya Redan, SK Batu Berendam, SK Pulai, SK Chinchin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah, SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, SK Duyung, SK Bukit Rambai dan SK Taman Bukit Rambai.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan di bawah Prosedur SOP 3.0 daripada Kementerian Pendidikan termasuk melakukan ujian saringan RTK secara bersasar terhadap pelajar pada setiap hari.

“JPN telah mengarahkan pihak sekolah untuk sentiasa memantau penjarakan sosial pelajar semasa aktiviti persekolahan selain kaedah penggiliran kehadiran pelajar juga dilakukan bagi mengelakkan kesesakan di sekolah.

“Pihak Jawatankuasa Pendidikan Negeri juga sentiasa bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam aspek pencegahan dan khidmat nasihat kesihatan serta perkhidmatan pihak bomba juga sentiasa diperlukan dalam membantu mensanitasi bilik darjah,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain jelasnya, meskipun peratusan murid berumur lima hingga 11 tahun yang sudah divaksin menunjukkan peningkatan, namun peratusannya masih rendah.

Jelasnya, daripada 98,200 pelajar hanya 18,167 atau 18.5 peratus daripada mereka sudah divaksin di seluruh negeri ini.