AMPANG: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, memerintahkan dua wanita membela diri atas dua pertuduhan memperdagang seorang wanita warga Indonesia dan mengambil wanita itu bekerja tanpa permit sah, pada 10 tahun lalu.

Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap Ong Su Ping Serene, 56, dan Sang Yoke Leng, 53.

Ketika membaca keputusan berkenaan, hakim ini berkata, terdapat keterangan menunjukkan mangsa telah dieksploitasi oleh kedua-dua tertuduh.

“Mahkamah mendapati mangsa bersetuju untuk bekerja sebagai pembantu rumah, tetapi bukan untuk dijadikan 'punching bag'," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, dua tertuduh itu didakwa memperdagang Meriance Kabu, 32, (ketika kejadian) bagi maksud eksplotasi dengan menggunakan kekerasan atau bentuk paksaan lain di sebuah rumah di Persiaran Pandan 7, Pandan Jaya, di sini antara April hingga 20 Disember 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 13 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengambil pembantu rumah itu tanpa memiliki permit kerja sah, di lokasi pada tarikh sama.

Kes ini dibuat mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang mambawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Su Ping dilepaskan dan dibebaskan daripada dua lagi pertuduhan iaitu mendatangkan cedera parah dan cubaan membunuh Meriance.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan mencabut empat gigi mangsa, menggunakan playar di rumah sama antara 11 April dan 20 Disember 2014.

Kes itu dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara kes kedua, dia didakwa cuba membunuh mangsa, di tempat sama pada jam 6 petang, 20 Disember tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, S Preakas.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan kes.

Kedua-dua tertuduh didakwa buat pertama kali pada 24 Mac 2015 namun mereka dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) sebanyak dua kali selepas saksi pendakwaan tidak hadir ke mahkamah, 28 Julai dan 26 Oktober 2017.

Mereka dituduh semula atas pertuduhan sama pada 6 Januari 2023.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian