Pendidikan merupakan tangga kejayaan, namun tidak semua dapat menerima peluang yang sama.

SkolaFund.com yang merupakan sebuah platform dalam talian pengumpulan dana biasiswa menampilkan 6 individu yang memerlukan pertolongan orang ramai.

Walaupun dari latar belakang yang berbeza, namun semua mempunyai azam untuk menamatkan pengajian.

Ini merupakan kunci utama untuk mengubah bukan sahaja nasib mereka tetapi taraf kehidupan keluarga tersayang.


1. Mustaqim Mohd Marsidi
Jumlah diperlukan: RM4,550


Mustaqim merupakan pelajar tahun ketiga sarjana muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau memerlukan RM4,550 untuk pengajian satu semester dan kini berjaya mendapat dana sebanyak RM2,778.

“Saya mendapat pinjaman PTPTN untuk merealisasikan impian saya untuk belajar undang-undang di UIA. Namun pinjaman PTPTN saya tidak mencukupi untuk menampung pembelajaran saya. Saya tidak dapat untuk beli bahan-bahan yang diperlukan kerana harga buku yang mahal.

“Pada masa yang sama, saya perlu hantar wang kepada keluarga yang sangat-sangat memerlukan,” kata Mustaqim di laman web skolafund.com

Beliau berkata wang yang diperlukan adalah untuk hostel dan yuran pendidikan (RM1,800), RM1,200 untuk makan, RM600 untuk bahan-bahan pelajaran, dan RM250 untuk pengangkutan. Beliau juga perlu wang untuk membeli komputer riba.


2. Ahmad Fuaddin Ross Mohd Rosli
Jumlah diperlukan: RM4,450


Pelajar tahun keempat Universiti Malaya dalam jurusan Sains Komputer ini memerlukan RM4450 untuk satu semester.

Bapa beliau baru sahaja meninggal dunia akibat strok dan ibunya merupakan suri rumah sepenuh masa dan tidak dapat untuk mencari pekerjaan kerana harus menjaga seorang anak OKU.

Sementara itu, beliau mendapat pinjaman PTPN namun ia cukup untuk tujuh semester. Atas masalah keluarga, Ahmad Fuaddin Ross harus tangguh pengajian untuk satu lagi semester yang tidak ditanggung oleh PTPTN.

Duit yang diterima akan digunakan untuk yuran pendidikan, makan, yuran penginapan, dan pengangkutan.

“Saya tidak sabar untuk menamatkan pengajian kerana mahu mula bekerja secepat mungkin untuk membantu keluarga.

“Cita-cita saya adalah untuk menjadi pensyarah universiti. Saya berharap untuk kongsi ilmu dan pengalaman saya bersama orang ramai, khususnya golongan muda dari kawasan pendalaman.


3. Katirmutu A/L Gunalan
Jumlah diperlukan: RM2,000


Katirmutu merupakan pelajar tahun keempat jurusan Sarjana Muda Sains Gunaan di Universiti Malaysia Terengganu dan memerlukan RM2,000 untuk semester akhirnya.

Beliau menerima pinjaman PTPTN namun harus tangguh pengajian atas kecedaraan dan semester akhir ini tidak ditanggung oleh badan pinjaman itu.

“Saya dari keluarga yang susah. Bapa saya seorang nelayan dan ibu saya seorang suri rumah. Pendapatan bapa saya cukup-cukup untuk menampung satu keluarga dan keperluan adik saya yang sakit.

“Sebagai satu-satunya ahli keluarga yang mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran, keluarga saya bergantung kepada satu untuk membina kehidupan yang lebih baik,” jelasnya kepada laman web skolafund.com.

6 pelajar perlukan pertolongan anda.
'KAMI MAHU TERUSKAN PENGAJIAN': (Atas dari kiri) Najwa Azman, Nanthini Jayabalan, dan Mustaqim Mohd Marsidi. (Bawah dari kanan) Ahmad Fuaddin Ross Mohd Rosli, Katirmutu A/L Gunalan dan Nabilah Abdul Aziz.


4. Nabilah Abdul Aziz
Jumlah diperlukan: RM9,600


Nabilah merupakan pelajar tahun pertama Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya.
Beliau memerlukan RM9,600 untuk menyambung pengajian kerana tidak berjaya untuk mendapatkan biasiswa.

“Ibu saya menjual kuih. Setelah bapa saya meninggal, beliau telah mengharungi pelbagai dugaan untuk membantu keluarga.

“Saya telah memohon pelbagai biasiswa namun tidak berjaya kerana tidak cemerlang dalam keputusan SPM,” katanya.

Beliau mempunyai perancangan untuk bekerja di industri minyak dan gas.

5. Najwa Azman
Jumlah diperlukan: RM4,600


Najwa merupakan pelajar tahun pertama peringkat foundation di University College Syahputra.

Bercita-cita untuk menjadi pakar bedah, beliau memerlukan RM4,600 untuk perbelanjaan satu semester.

“Saya dari dari keluar berpendapatan rendah. Ibu-bapa saya jual tapai ubi dan tapai pulut. Adik saya berusia 16 tahun dan membantu perniagaan keluarga dan tidak ke sekolah.

“Oleh kerana saya masih dalam peringkat Foundation, saya tidak layak untuk memohon biasiswa. Saya bercadang untuk berkerja separuh masa namun saya bimbang tidak dapat fokus kepada pelajaran.

6. Nanthini Jayabalan
Jumlah diperlukan: RM27,960


Nanthini mempunyai perancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam Neurosains di University of Queensland, Australia.

Namun beliau memerlukan RM27,960 sebagai wang elaun ketika di Australia kelak.

“Saya mendapat tawaran untuk melanjutkan ke peringkat PhD di University of Queensland, Australia.
Saya mahu menamdah pengalaman dalam bidang penyelidikan (Neurosains) yang akan menyediakan peluang untuk meningkatkan kelayakan saya dan juga pembangunan profesional,” kata Nanthini.

Beliau berjaya untuk mendapat biasiswa namun dianggap tidak mencukupi oleh pihak universiti.

“Mereka tidak membenarkan saya terbang ke Australia sehingga saya mempunyai wang minima yang cukup sekurang-kurangnya untuk tahun pertama.

“Maksudnya, tanpa wang saya tidak boleh terima peluang ini untuk belajar di luar negara,” jelasnya lagi.

Penyertaan untuk terpilih dalam SkolaFund dibuat menerusi permohonan pelajar. SkolaFund akan meneliti permohonan tersebut sebelum melancarkan kempen mengumpul dana.

Pihak penderma akan menghulurkan bantuan mereka kepada tabung khas SkolaFund. Sekiranya jumlah yang dikumpul berjaya mencecah sasaran, pihak SkolaFund akan memberikan cek kepada pihak sekolah atau pun universiti pelajar terbabit. Jika tidak berjaya, derma tersebut akan dipulangkan semula kepada penderma.