KUALA LUMPUR: Suami kepada penyanyi Syura Badron, Muhammad Farizat Ismail, melecur teruk sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital akibat letupan tong gas.

Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 38, memaklumkan, susulan kejadian tersebut Farizat, 30, mengalami kecederaan di bahagian muka, kaki dan tangan.

Beliau memohon doa orang ramai berkenaan kesejahteraan suami dan menganggap ada hikmah di sebalik ujian yang menimpa.

“Dengan berat hati saya ingin maklumkan suami saya, Farizat telah dimasukkan ke hospital kerana melecur teruk di bahagian muka, kaki dan tangan akibat letupan gas memasak di tempat penginapan kami di Perlis pada Jumaat malam lepas.

“Mohon doa daripada semua semoga diberikan kesembuhan kekuatan buat suami menghadapi ujian ALLAH SWT ini. Semoga ada hikmah yang baik di sebalik ujian, ALLAH maha baik,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Isnin.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Bakawali tersebut menyifatkan suaminya sebagai lelaki hebat yang pernah dikenali kerana masih mampu tersenyum walaupun dalam keadaan sakit.

Dalam pada itu, Syura mengucapkan terima kasih untuk suaminya kerana mampu bertahan menghadapi ujian tersebut.

“Dalam menahan sakit, awak masih lagi mampu tersenyum untuk saya dan anak-anak.

“Terima kasih sebab bertahan dan semoga ALLAH angkat sakit yang awak rasa serta berikan kesembuhan secepatnya serta semoga ia juga jadi asbab pahala besar untuk awak,” ujarnya.

Syura dan Farizat mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022 serta dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Muhammad Umar Eussof yang kini berusia satu tahun. - Sinar Harian