Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha memperluaskan akses pendidikan kepada pelajar dari Malaysia.
“Saya juga menekankan perlunya Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif memperkukuh kerjasama di rantau ASEAN, terutama dalam bidang teknologi dan penyebaran ilmu pengetahuan,” kata beliau ketika sesi ceramah umum yang diadakan di Al-Azhar Conference Centre di Kaherah pada Ahad.
Sesi ceramah tersebut bertajuk ‘Teguh Bersama : Visi umat Islam menerusi pemerkasaan teknologi, sosial dan ekonomi’ dihadiri lebih 1,500 pelajar dari Al-Azhar.
Perdana Menteri berkata demikian merujuk kepada pertemuan bersama Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb.
Perbincangan itu berlaku selepas pertemuan Anwar dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Al-Ittihadiya.
Dalam perbincangan bersama Prof Ahmad, Anwar memaklumkan mengenai cadangan memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama menerusi program Sains Islam (Ulum Islamiah) antara Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif.
Selain itu, usaha sama antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Institut Bahasa Arab Al-Azhar Al-Sharif juga dirancang sebagai langkah lanjut bagi mempererat hubungan kedua-dua negara dalam pendidikan.