SURABAYA: Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa mengadakan pertemuan dengan Rektor Universiti Al-Azhar, Prof Dr Salama Gomaa Daud, di sini bagi membincangkan potensi kerjasama antara kedua-dua pihak, lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).

"Terdapat banyak perkara yang kami bincangkan dengan Khofifah mengenai kerjasama dan potensi yang boleh kami wujudkan antara Al-Azhar dan Jawa Timur - terutamanya dalam bidang biasiswa dan latihan," kata rektor universiti itu dalam satu kenyataan dari Pejabat Gabenor pada Ahad.

Sejak Khofifah memegang jawatan pada 2019, setiap tahun Kerajaan Wilayah Jawa Timur menghantar 30 pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Mereka adalah guru agama dan pelajar dari Jawa Timur yang telah dipilih untuk belajar di Al-Azhar dengan biasiswa penuh.

Memasuki tahun keempat, bilangan pelajar yang dihantar ke Al-Azhar terus meningkat kepada 33 orang setahun. Mereka diberikan bantuan untuk menampung kos pendidikan, kos sara hidup dan juga penginapan di Kaherah.

Khofifah terus berusaha agar kuota atau bilangan pelajar yang boleh dihantar belajar ke Al-Azhar dapat terus bertambah dengan harapan untuk meningkatkan kualiti sumber manusia di Jawa Timur.

"Berkaitan kuota penerima biasiswa Al-Azhar, biasanya ia ditentukan oleh kerajaan pusat dan kuota itu dibahagikan ke setiap wilayah. Tetapi kami terbuka kepada sesiapa sahaja untuk belajar di Al-Azhar," kata Salama.

Sementara itu, Khofifah berkata semasa pertemuan itu, beliau juga membincangkan keprihatinan Al- Azhar dalam menyebarkan ideologi Islam yang sederhana dan bertoleransi.

"Kami tahu bahawa Al-Azhar, yang dipimpin oleh Sheikh Al-Azhar, (Al-Sharif Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb) sangat prihatin dalam menyebarkan kesederhanaan, bertoleransi dan penyahradikalan. Atas sebab itu, kali ini beliau berkata mereka ingin menjalin kerjasama untuk menyebarkan ajaran kesederhanaan, penyahradikalan dan antikeganasan kepada kanak-kanak," kata Khofifah.

Satu daripada media yang digunakan oleh Al-Azhar untuk mendidik kesederhanaan dan bertoleransi adalah melalui buku komik yang menarik minat kanak-kanak.

Al-Azhar telah bekerjasama dengan beberapa negara - bukan sahaja dengan institusi kerajaan tetapi juga dengan institusi bukan kerajaan - untuk mendidik kesederhanaan dan bertoleransi kepada kanak-kanak.

Bagi rantau ASEAN, universiti itu telah bekerjasama dengan Malaysia.

"Pergerakan ini sangat strategik. Malah, ia boleh diselaraskan secara langsung melalui kerajaan pusat dengan sinergi bersama Kementerian Pemerkasaan Wanita agar lebih efektif kerana mereka mengendalikan program berkaitan wanita dan kanak-kanak bermula dari awal usia," kata Khofifah.

-- BERNAMA