PETALING JAYA: Taiwan mempelawa rakyat Malaysia memohon pelbagai Biasiswa Taiwan 2024 bagi melanjutkan pelajaran atau mempelajari bahasa Mandarin, serta meneroka dan merasai pengalaman hidup di pulau itu.

Pengarah Bahagian Pendidikan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei (TECO) Malaysia, Charlin Chang berkata, Taiwan menerusi Kementerian Pendidikannya telah menawarkan biasiswa kepada rakyat Malaysia sejak 2004.

"Tahun lepas, seramai 69 rakyat Malaysia menerima tajaan biasiswa Taiwan untuk melanjutkan pelajaran dan mempelajari bahasa Mandarin. Tahun ini angka berkenaan dijangka meningkat," katanya pada sidang media ketika mengumumkan mengenai tajaan biasiswa di sini, Jumaat.

Biasiswa Taiwan memperuntukkan elaun tuisyen dan perbelanjaan lain sebanyak $ (NTD) 40,000 (RM5,800) bagi setiap semester dan elaun sara hidup bulanan NTD15,000 (RM2,200) untuk mahasiswa dan NTD20,000 (RM12,900 ) bagi lepasan ijazah.

Tarikh akhir bagi permohonan prasiswazah dan pascasiswazah adalah 30 April.

Sementara itu, Biasiswa Pemerkasaan Huayu ditawarkan kepada pelajar jurusan bahasa Mandarin bagi mengikuti pengajian di mana-mana Pusat Bahasa yang diiktiraf universiti di Taiwan. Pelajar akan diberi elaun bulanan sebanyak NTD 25,000 (RM3,600), kata Chang.

Tempoh Biasiswa Pemerkasaan Huayu sekitar tiga bulan atau enam bulan dan permohonan akan ditutup pada 31 Mac, katanya.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di https://taiwanscholarship.moe.gov.tw/Apply.

Dalam pada itu, Chang berkata, Taiwan kini menawarkan sekitar 285 restoran halal di seluruh kepulauan itu.

Semasa sidang media, seorang penerima Biasiswa Taiwan 2019 Liyana Yamin, 31, yang kini sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Bidang Sumber Laut dan Perubahan Alam Sekitar di National Taiwan Ocean University berkongsi pengalamannya belajar di Taiwan.

Liyana yang akan menamatkan pengajian pada akhir tahun ini berkata dia telah mendaki 60 gunung di Taiwan dan berbasikal sejauh 212 km dari Hualien ke Taitung sejak 2019.

Penerima Biasiswa Pemerkasaan Huayu 2019 di Pusat Bahasa Universiti Kebangsaan Sun Yat Sen, Izzat Zaid, 31, pula berkata beliau menikmati pemandangan laut dan gunung-ganang di sekitar universitinya di Kaohsiung. - BERNAMA