KUALA LUMPUR: Pelancong Malaysia ke Taiwan meningkat hampir 20 peratus sejak awal tahun ini hingga Mei lalu, sekali gus menyerlahkan komitmen negara itu menawarkan pengalaman perjalanan mesra Muslim.

Pengarah Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur (PTKL), Chou Shih-Pi berkata, pihaknya komited meneruskan usaha mengukuhkan hubungan pelancongan antara kedua-dua negara bagi mendekatkan lagi kekayaan budaya Taiwan kepada rakyat Malaysia.

“Jumlah pelancong Malaysia ke Taiwan meningkat 97 peratus kepada lebih daripada 170,000 orang berbanding tempoh sebelum pandemik lalu, menjadikan negara ini sebagai salah satu pasaran pelancongan penting dari Asia Tenggara ke negara berkenaan.

“Sejak 2019, Taiwan disenaraikan sebagai antara tiga destinasi utama bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam Indeks Perjalanan Muslim Global Taiwan kerana diiktiraf berjaya menonjolkan persekitaran pelancongan mesra Muslim.

“Sebagai usaha mengukuhkan lagi industri pelancongan negara berkenaan, Biro Pelancongan Taiwan melancarkan promosi komprehensif yang menyasarkan pasaran pelancongan untuk Muslim Malaysia,” katanya kepada media pada hari terakhir Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia 2024 (MATTA Fair 2024) semalam.

Turut hadir, Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei Malaysia, Pheobe Yeh dan Pesuruhjaya Jabatan Penerangan Dan Pelancongan, Kerajaan Bandaraya Taipei Wang Chiu Tung.

Sementara itu, MATTA Fair tahun ini di Pavilion Taiwan turut dimeriahkan dengan penampilan selebriti popular Nabila Razali sebagai Duta Salam Taiwan yang dilantik selama setahun bermula bulan lalu.

Penyanyi dan pelakon itu kini giat mempromosikan pelancongan Islamik sempena Tahun Melawat Taiwan 2025, termasuk terlibat dalam penggambaran video ‘Jom Taiwan’.

Video tersebut memaparkan pelbagai tarikan dan pengalaman di Taiwan terhadap budaya dan hospitaliti yang memberi inspirasi bagi mendorong pelancong memilih negara itu sebagai destinasi percutian.

“Hanya satu perkataan yang dapat menggambarkan Taiwan iaitu 'menakjubkan,' kerana ia memiliki beberapa tempat pemandangan indah yang boleh dilawati, yang menggambarkan maksud perkataan tersebut.

“Antaranya ialah Bitoujiao Trail untuk penggemar pendakian, Stesen Jingtong bagi mereka yang berminat dengan sejarah dan tempat ‘healing’ atau rehat minda seperti Sicao Green Tunnel,” kata Nabila.

Turut memeriahkan Pavilion Taiwan di MATTA Fair 2024 adalah pemain bola sepak wanita pertama Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu Intan Serah dan pempengaruh Safwan Nazri.