Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Indonesia, Brunei, Pakistan, Arab Saudi dan Kazakhstan menjadi antara lima negara utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kehadiran pelancong Muslim ke negara ini.
"Merujuk kepada unjuran pasaran, pelancongan Islam yang dijangka meningkat sekitar 1.2 peratus setiap tahun meletakkan Malaysia berada dalam posisi yang baik untuk menguasai sebahagian besar pasaran ini menjelang 2028 dengan kerjasama erat dari semua pihak yang terlibat," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian IslamiCruise Malaysia-Saudia, yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Pengasas IslamiCruise International Suhaimi Abd Ghafer.
Ahmad Zahid berkata pengiktirafan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka oleh Global Muslim Travel Index (GMTI), turut membuktikan keunggulan negara dalam segmen berkenaan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata selain memiliki warisan Islam menerusi binaan masjid, tapak bersejarah dan tarikan budaya, beberapa industri dan sektor di negara ini turut menjadi pemangkin kepada kejayaan pelancongan Islam.
Beliau berkata antaranya Malaysia mempunyai infrastruktur pelancongan Islam dan hospitaliti mesra Muslim yang dibangunkan dengan baik termasuk pilihan hotel, restoran, produk serta perkhidmatan yang disahkan halal.
"Keyakinan terhadap industri halal di Malaysia juga menjadi antara pemacu utama kepada segmen pelancongan Islam ini melalui kepelbagaian makanan dan minuman yang diyakini halal, festival makanan dan pengalaman kulinari menarik yang ditawarkan.
"Perkembangan ini juga disokong oleh bantuan kerajaan yang giat mempromosikan pelancongan Islam melalui inisiatif yang dibangunkan oleh agensi-agensi seperti Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre (ITC) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Tahun Melawat Malaysia 2026 turut menyasarkan kemasukan lebih 35.6 juta pelancong dengan jangkaan pendapatan yang dapat dijana negara pada sekitar RM147.1 bilion.
"Besar harapan saya agar IslamiCruise Malaysia-Saudia yang dijangka mampu menarik lebih 70 peratus penumpang luar negara terutamanya dari Timur Tengah, Eropah dan Asia Tenggara dapat turut sama menyumbang secara signifikan bagi mencapai sasaran tersebut," katanya.
Beliau berkata pelancaran IslamiCruise Malaysia-Saudia bukan hanya mencipta sejarah dalam industri pelancongan negara, tetapi turut membuka pintu peluang yang luas kepada pemain industri untuk terus berkembang serta memperkukuh hubungan diplomatik serta ekonomi antara Malaysia dan Arab Saudi.
"Syabas dan tahniah kepada IslamiCruise International Sdn Bhd kerana menjadi perintis dalam industri pelancongan Islam di atas kapal persiaran sejak 2014. Kejayaan selama lebih satu dekad ini pastinya menjadi inspirasi kepada kita untuk terus berinovasi dan menawarkan pengalaman pelancongan unik, menarik dan bernilai tinggi," katanya.
Beliau berkata pelayaran IslamiCruise Malaysia-Saudia yang dijadualkan bermula pada Februari 2026, akan membuka peluang besar dalam mempromosikan pelancongan Islam negara ke peringkat global, selari dengan hasrat kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
-- BERNAMA