Menurut laporan Agensi Berita Pusat (CNA), sejumlah 234 penerbangan domestik yang dijadualkan pada Rabu dibatalkan, termasuk 120 penerbangan oleh Uni Air, 86 oleh Mandarin Airlines dan 28 penerbangan oleh Daily Air.
Uni Air berkata semua penerbangan domestiknya pada Rabu dibatalkan dan jadual penerbangan terkini boleh disemak di laman web rasminya di www.uniair.com.tw atau aplikasi rasminya.
Bagi penerbangan antarabangsa, setakat tengah hari Selasa, China Airlines mengumumkan penerbangan CI177 dari Osaka ke Kaohsiung, CI758 dari Singapura ke Kaohsiung dan CI185 dari Seoul ke Kaohsiung pada Selasa akan ditunda, manakala penerbangan CI840 dari Bangkok ke Kaohsiung dan CI936 dari Hong Kong ke Kaohsiung juga dibatalkan.
Starlux menyatakan bahawa penerbangannya pada Rabu akan beroperasi seperti biasa, tetapi menambah bahawa penerbangan Taichung-Da Nang dan Taichung-Macau pada Khamis dibatalkan.
EVA Airways (EVA Air) menyatakan bahawa perkhidmatannya ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan Taoyuan dan Lapangan Terbang Taipei Songshan beroperasi seperti biasa pada Selasa dan penerbangannya dari Kaohsiung ke Fukuoka Jepun, Incheon Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai juga dijadualkan berlepas seperti biasa, tetapi empat penerbangan pulang pada hari yang sama dibatalkan.
Tiga penerbangan EVA Air yang pada asalnya dijadualkan berlepas ke Tokyo, Osaka dan Hong Kong sebelum tengah hari Rabu juga dibatalkan, menurut syarikat penerbangan itu.
Sementara itu, perkhidmatan feri terus melalui tiga laluan mini antara Jeti Shuitou di Kinmen dan Xiamen serta Quanzhou di China akan digantung pada Rabu dan jadual seterusnya akan disesuaikan berdasarkan keadaan cuaca, lapor CNA yang memetik kenyataan biro pelabuhan kerajaan daerah Kinmen di Facebook pada Selasa.
Setakat 5 petang Selasa, Krathon terletak 190 kilometer ke selatan-barat daya Kaohsiung dan bergerak ke arah utara-timur laut dengan kelajuan 6 meningkat kepada 11 kilometer sejam, menurut data CWA.
Dengan radius 220 km, ribut itu membawa angin kencang maksimum pada kelajuan 198 kilometer sejam, dengan tiupan angin mencecah sehingga 245 kph, menurut data berkenaan.
-- BERNAMA