Sementara itu, penduduk di sebahagian besar kawasan lain di pulau itu kembali bekerja dan pasaran kewangan dibuka semula.
Krathon, yang kini turun ke tahap ribut tropika, melanda Kaohsiung di barat daya, mengakibatkan banjir di jalan-jalan, memecahkan tingkap bangunan dan serpihan berterbangan di tengah-tengah angin yang mencecah rekod kelajuan.
Ketika wilayah lain di Taiwan sudah memulakan semula aktiviti harian, pihak berkuasa di Kaohsiung dan Pingtung, mengisytiharkan cuti tambahan sehari untuk memberi laluan kepada usaha mengatasi banjir, membersihkan pokok tumbang, dan membuka jalan yang terhalang.
Datuk Bandar Kaohsiung, Chen Chi-Mai berkata, pihaknya berharap dapat memulihkan sistem pengangkutan, bekalan air dan elektrik secepat mungkin supaya kerja dan kehidupan dapat kembali normal.
Pihak berkuasa Kaohsiung kini sedang menangani lebih 2,000 pokok tumbang di jalan raya dan melaporkan hanya dua kecederaan setakat ini.
Hampir 100,000 kediaman di Kaohsiung dan Pingtung, masih tidak mempunyai bekalan elektrik, sementara 129,000 lagi di Kaohsiung masih terputus bekalan air.
Jabatan Bomba melaporkan jumlah korban kekal dua orang, kedua-duanya di pantai timur sebelum taufan melanda, dengan seorang lagi masih hilang dan 667 mengalami kecederaan.
Taiwan telah membuka semula laluan kereta api laju utara-selatan, serta kebanyakan laluan kereta api biasa.
Gangguan pada penerbangan bagaimanapun masih berterusan dengan 15 penerbangan antarabangsa dan 88 penerbangan domestik dibatalkan.
Kementerian Pengangkutan berkata, Pelabuhan Kaohsiung juga sedang membersihkan beberapa kontena yang terbalik bagi memastikan operasi tidak terjejas.
Kerajaan turut menyiasat punca kebakaran di sebuah hospital di Pingtung yang berlaku semasa taufan melanda dan mengorbankan sembilan nyawa.