Ringkasan AI
- Taiwan menegaskan bahawa mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada Malaysia dalam perlawanan penting di Stadium Nasional Bukit Jalil, menyatakan bahawa mereka berhasrat untuk menang.
- Ketua Jurulatih Taiwan, Gary White, menolak dakwaan yang menyatakan bahawa pasukannya akan mengalami kekalahan besar, memperlihatkan tekad untuk memberikan perlawanan yang sengit.
- Meskipun Taiwan akan kehilangan beberapa pemain kunci yang komited kepada kelab mereka, mereka tetap mempunyai skuad yang kuat dan ingin menentang Malaysia dengan sepenuh tenaga. Malaysia perlu menang dengan sekurang-kurangnya tujuh gol untuk memperbaiki peluang mereka ke pusingan seterusnya.
Ini selepas Ketua Jurulatih Taiwan Gary White membantah keras dakwaan bahawa mereka sedang menuju ke arah kekalahan terbesar mereka dalam kempen kumpulan kerana Malaysia menyasarkan untuk menjaringkan sekurang-kurangnya tujuh gol bagi menghidupkan semula peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak awal untuk Piala Asia 2027.
"Akan mengalami kekalahan terbesar kami? itu bukan perkara yang kami perkatakan. Anda boleh tanya Encik Kim (Pan Gon) tentang bertemu pasukan saya; menentang pasukan saya tidak pernah mudah. Kami tidak akan mengalah. Malah, kami mahu menang perlawanan itu, jadi kami tidak melihatnya sebagai hanya mengambil bahagian.
"Kami di sini untuk menang dan kami akan berikan yang terbaik. Kita lihat semasa permainan - biarlah pemain melakukan percakapan di atas padang. Kami datang ke sini untuk cuba mencipta sejarah sendiri," katanya pada sidang media praperlawanan Malaysia-Taiwan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.
Sebagai rekod, Taiwan mengalami kekalahan terbesar mereka pada Mac lepas apabila tewas 1-5 kepada Kyrgyzstan di Bishkek.
Pada masa yang sama, White berkata dakwaan bahawa skuad Malaysia kendalian Kim Pan Gon boleh menewaskan Taiwan dengan jaringan 8-0 adalah tidak masuk akal memandangkan pasukan Harimau Malaya hanya berjaya menang 1-0 dalam pertemuan pertama mereka di Taipei November tahun lepas.
"Itu kenyataan yang tidak masuk akal daripada sesiapa sahaja, saya fikir, memandangkan kamu hanya menewaskan kami 1-0 di tempat lawan menerusi gol pada minit ke-75. Kami sangat serius dengan apa yang kami lakukan.
"Boleh jadi anda (media) cuba mencipta situasi, mungkin untuk publisiti. Jika itu boleh menyebabkan ramai penyokong datang, maka itu kerja bagus, teruskan, kerana kami mahu stadium penuh. Kami tidak mahu datang ke sini dan bermain di hadapan 20,000 orang," kata jurulatih berusia 49 tahun dari England itu.
Dalam pada itu, White berkata Taiwan masih membariskan pasukan terkuat termasuk membawa beberapa pemain muda berpotensi untuk menentang Malaysia walaupun tanpa beberapa pemain yang mempunyai komitmen dengan kelab masing-masing dalam Liga Super China.
Sementara itu, kapten Taiwan Po-Liang Chen berkata pemain berada pada tahap terbaik untuk cuba mencipta sejarah menentang Malaysia dan ia adalah peluang terbaik untuk pemain-pemain muda Taiwan menimba pengalaman di pentas antarabangsa.
Malaysia kini berada di tempat ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata - tiga mata di belakang pasukan tangga kedua Kyrgyzstan yang juga mempunyai kelebihan perbezaan gol menjelang perlawanan akhir, manakala Oman mengungguli kumpulan dengan 12 mata dan melayakkan diri ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Dalam perlawanan terakhir kumpulan, Malaysia dalam keadaan bolos dua gol (-2) akan melayan Taiwan, manakala Kyrgyzstan dengan kelebihan enam gol (+6) gol akan bertandang ke Muscat untuk menentang Oman.
Sekiranya gagal mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia perlu bersaing di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 untuk peluang membuat penampilan kedua berturut-turut dalam kejohanan itu.
-- BERNAMA