Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan mangsa, seorang warga asing berusia lingkungan 30-an itu, dikejarkan ke hospital selepas kejadian untuk menerima rawatan.
“Mangsa kini ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan dia stabil,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan suspek yang juga warga tempatan dipercayai tiba di pusat beli-belah itu lebih kurang 10 malam dan menuju ke arah mangsa sebelum melepaskan tembakan.
Polis percaya sekurang-kurangnya lapan das tembakan telah dilepaskan suspek terhadap mangsa menggunakan pistol.
Suspek yang bertanggungjawab terhadap kes tembakan malam tadi dipercayai tidak mempunyai kenderaan sendiri semasa melarikan diri.
“Polis percaya suspek tiada kenderaan, tetapi dalam siasatan lagi,” katanya.
Ini kerana selepas melepaskan tembakan, suspek kemudian melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan seterusnya memaksa pemandu kenderaan membawanya keluar dari kawasan terbabit.
Suspek kemudian memaksa pemandu itu menurunkannya di tepi jalan sekitar Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan pemandu terbabit kemudiannya membuat laporan polis.
Berikutan itu katanya polis kini giat menjejaki suspek di lokasi terakhir suspek dilihat.
Dalam pada itu, polis turut menemui sebanyak 13 kelongsong peluru di kawasan tangga dan tempat parkir aras P1, P2 dan P3.
Sementara itu, kes kini disiasat di bawah seksyen 8 Akta Senjata Api (FIPA), Seksyen 307/384 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai satu kejadian tembakan yang dikatakan berlaku di sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat-beli belah di Setia Alam malam tadi.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)