COPENHAGEN: Lima individu ditembak di sebuah sekolah di selatan Sweden, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan polis pada Selasa.

Tahap kecederaan mereka masih belum dapat dipastikan.

Polis menggesa orang ramai agar menjauhkan diri dari sekolah berkenaan yang terletak di bandar Orebro, kira-kira 160 kilometer (km) ke barat Stockholm.

Agensi berita Sweden TT melaporkan, suspek telah meninggal dunia, namun polis masih belum memberikan maklumat lanjut mengenai insiden itu.

Media tempatan melaporkan bahawa sejumlah besar anggota polis dan pasukan penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurut polis, para pelajar sedang diberi perlindungan di sekolah berkenaan serta di sekolah berhampiran.

TT turut melaporkan insiden itu berlaku di sebuah pusat pendidikan dewasa di kampus Risbergska.
- BERNAMA