Adakah bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng yang meninggal dunia di Bangkok pada Isnin lebih besar pengaruhnya berbanding dengan negara Malaysia sendiri sehingga dia akan diingati setiap kali sambutan Hari Malaysia?

Itu persoalan yang diajukan oleh Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Dr Ramlah Adam kepada segelintir rakyat Malaysia yang menganggap Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan.

ramlah adam

“Pada akhirnya negara tetap perlu diutamakan. Besar sangatkah Chin Peng dari kepentingan sebuah negara? Lagipun, dia bukan warganegara Malaysia.

“Tiada signifikannya Chin Peng terhadap Malaysia. Dia komunis. Dia menentang sistem pemerintahan demokrasi berparlimen,” kata Ramlah kepada Astro Awani.

Ramlah juga berpendapat hanya kerana Chin Peng meninggal dunia pada Hari Malaysia, tidak mungkin rakyat akan mengaitkan sambutan Hari Malaysia pada masa akan datang dengan tarikh kematiannya itu.

“Dia meninggal dunia pada Hari Malaysia kebetulan sahaja. Itu kuasa tuhan. Kenapa hendak kaitkan Hari Malaysia dengan kematian dia?”.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani turut berkongsi pendapat yang sama.

azizuddin

“Kebetulan sahaja Chin Peng meninggal dunia pada Hari Malaysia. Kalau nak mengingati dia pun, tiada apa-apa yang boleh diingati tentangnya.

“Saya rasa generasi akan datang tidak akan mengingatinya langsung dan juga tidak akan kaitkan sambutan Hari Malaysia dengan kematiannya.

“Komunisme sudah mati pada 1989. Dengan itu, Chin Peng dan ingatannya juga sudah mati,” katanya.

Chin Peng meninggal dunia pada Isnin, menurut laporan akhbar dalam talian Bangkok Post. Dia meninggal dunia sebulan sebelum tarikh ulang tahun ke-89 kelahirannya.

Chin Peng dilahirkan pada 21 Okt 1924.

Bekas gerila komunis ini hidup dalam buangan selama beberapa dekad setelah cubaannya untuk menubuhkan negara komunis di Tanah Melayu, kemudian Malaysia, gagal.

Walaupun beberapa kali mencuba untuk kembali ke Malaysia, beliau tidak dibenarkan berbuat demikian kerana tindakannya mengetuai pemberontakan berdarah di negara ini masih jelas dalam ingatan sesetengah rakyat Malaysia.