ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 12 Disember 2024.


1. Ahmad Zahid kekal bebas 40 kes rasuah VLN

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung Sistem VLN.



2. Razman Zakaria mohon maaf kepada Nga Kor Ming

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria menyampaikan permohonan maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung fitnah mengaitkan Pengerusi DAP Perak itu dengan insiden mengibar bendera negara China di Teluk Intan, Oktober lepas.


3. Kertas siasatan SD sokong Muhyiddin jadi PM telah dirujuk kepada AGC - Saifuddin Nasution

Kertas siasatan membabitkan 115 Akuan Bersumpah (SD) yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).


4. Batu Puteh: Keputusan tidak teruskan semakan dan tafsiran dibuat tanpa rujuk Jemaah Menteri

Keputusan dibuat Dr Mahathir sendiri pada 21 Mei 2018 secara bertulis kepada Peguam Cara Negara, tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri, dan dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018.


5. Simpan jasad bayi: Mufti perlu proaktif keluar pandangan hukum - Na'im Mokhtar

Mufti Selangor digesa untuk tampil mengeluarkan pandangan hukum syarak sebagai pencerahan kepada masyarakat.


6. Batu Puteh: Dr Mahathir balas kenyataan tiga bekas menteri Kabinet

Beliau mempersoalkan kenyataan tiga bekas menteri Kabinet berkaitan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.


7. 'Jel tujuh tahun, dua sebatan, denda RM10 juta melampau' - Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) serta mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan serta denda RM10 juta.


8. Titah Adendum: 'Saya tidak dendam dengan Najib, saya PM kena adil' - Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berdendam dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Lembaga Pengampunan dan Titah Adendum.


9. Dana Ihsan MADANI: Maxis, Astro, Bumi Armada, MEASAT sumbang RM5 juta

Empat syarikat korporat, Maxis, Astro, Bumi Armada dan Measat secara kolektif memberi sumbangan RM5 juta kepada dana Ihsan Madani bagi menyokong usaha bantuan dan pemulihan banjir.


10. Kadar subsidi FLYsiswa naik kepada RM400 bermula Januari 2025 - PM Anwar

Kerajaan bersetuju menaikkan RM100 kadar bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan menerusi FLYsiswa kepada RM400 seorang bermula 1 Januari 2025.