Dipercayai akibat terlalu marah mangsa mencuri wangnya, seorang lelaki bertindak mengelar leher rakannya dalam kejadian bunuh pagi tadi.


Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang di sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Bunga Raya, Sungai Petani, Kedah.


Sebelum kejadian, kira-kira jam 5.40 pagi tadi mangsa dan suspek sempat menyiapkan kuih pau yang ditempah dan selesai bekerja pada jam 9.00 pagi.


Sebaik selesai, pemilik premis bersama adiknya keluar untuk menghantar kuih pau ke kedai di sekitar Sungai Petani. Ketika itulah mangsa ditinggalkan di premis itu bersama suspek.


Timbalan Ketua Polis Kuala Muda, Superitenden Komisioner, Sazali Adam, memaklumkan, sebaik pemilik premis pulang kira-kira jam 1.30 tengahari dia terkejut apabila menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang serta dipenuhi darah.


Jelas Sazali, polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat seorang lelaki warga Myanmar dalam keadaan terlentang di lantai premis.


Polis turut menemui kesan kelar di leher mangsa dan sebilah pisau pemotong yang diguna dalam kejadian itu turut ditemui tidak jauh dari mayat mangsa.


Mangsa dan suspek dikatakan baru bekerja di premis itu sejak tiga bulan lalu.


Bagaimanapun hasil tindakan pantas sepasukan dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Muda berjaya menahan suspek di Stesen Ekspres Komplek UTC, Sungai Petani pada jam 4.10 petang tadi.


Ketika ditahan suspek dipercayai mahu melarikan diri dengan menaiki bas ekspres dan hasil pemeriksaan polis menemui wang tunai RM500 dipercayai milik mangsa.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.