IPOH: Kampung Paloh yang terletak di bandar raya Ipoh pernah menjadi salah sebuah perkampungan yang menyumbang kepada pembangunan pesat Ipoh seperti sekarang.

Difahamkan penempatan yang sarat dengan warisan Melayu itu wujud sekitar tahun 1700 sebagai perkampungan masyarakat Melayu dan Orang Asli.

Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, bukti itu dikuatkan lagi dengan catatan rekod kolonial British seawal tahun 1875.

Mengulas lanjut asal usul nama Paloh itu sendiri, Nor Hisham berkata, kampung itu dibuka oleh individu yang digelar Toh Paloh.

Maksud paloh atau palung, jelas Nor Hisham, merujuk kepada keadaan kawasan itu yang berlekuk serta menakung air.

"Paloh juga bermaksud lubuk yang memerangkap ikan. Dikatakan tempat itu dahulunya menempatkan beberapa kilang melebur bijih timah dari bijih orang Melayu.

"Dahulu di Ipoh ada tiga pangkalan perahu, Paloh merupakan hentian pertama kemudian Kampung Ipoh dan Kampung Masjid Lama,"katanya.

Ujarnya lagi, berdasarkan sejarah, pada zaman kolonial, Jalan Datoh termasuk Kampung Paloh dan Kampung Kuchai merupakan penempatan orang Melayu atau dikenali sebagai Malay Settlement.

"Masuk abad ke-20, kita boleh lihat Paloh makin berkembang sebagai pusat kegiatan masyarakat Melayu.

"Daripada bukti gambar lama ada perjumpaan Sultan dengan masyarakat Melayu, kita boleh ibaratkan Paloh dahulunya seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur.

"Ia memang sinonim dengan orang Melayu, banyak kegiatan masyarakat Melayu ada di situ," katanya.

Sementara itu, mengulas sebuah buku yang diterbitkan baru-baru ini bertajuk "Paloh: Founded by Hakka, Made Vibrant by The Cantonese", aktivis sejarah itu kurang bersetuju dengan apa yang disampaikan.

Tidak menafikan sumbangan masyarakat Cina dalam pembangunan di Ipoh, beliau bagaimanapun mendakwa, maklumat yang disampaikan tidak tepat.

"Rasanya tajuk buku itu agak mengelirukan, bukan hendak nafikan sumbangan kaum lain bangunkan Ipoh.

"Bagaimana boleh jadi kenyataan Paloh dibuka oleh Hakka? Sedangkan Paloh sudah wujud sebagai perkampungan masyarakat Melayu dan Orang Asli dalam rekod kolonial British.

"Dalam bancian tahun 1879 menyatakan jumlah penduduk di Kinta termasuk Ipoh terdiri daripada 7,292 orang Melayu dan 996 orang Cina.

"De Morgan sendiri menulis Ipoh sebagai Malay and Sakai village manakala Sir Hugh Low menyatakan Ipoh sebagai pusat terbesar Melayu di Kinta pada tahun 1880-an," tegasnya lagi.

Katanya lagi, perkembangan pesat di Ipoh suatu masa dahulu juga ada kaitan dengan usaha digerakkan Dato' Panglima Kinta Yusuf.

"Perkembangan bandar Ipoh tidak dinafikan sumbangan besar orang Cina, tetapi tidak dilupakan juga bahawa perkembangan awalnya dirintis oleh orang Melayu.

"Peringkat awal perniagaan di Ipoh dipelopori orang Melayu dan dibuktikan menerusi satu petisyen kepada Majistret Kinta 1883 yang tercatat nama 15 peniaga Melayu dan lima peniaga Cina.

"Perkampungan Ipoh berkembang jadi bandar pula adalah atas usaha Dato' Panglima Kinta Yusuff yang menggalakkan kemasukan imigran luar.

"Termasuk tukar status tanah kampung Melayu kepada lot-lot kedai yang dijual kepada orang Cina dengan harga $25 satu lot," jelasnya.


Dato' Panglima Kinta Mohamed Yusuf

Katanya, kewujudan Masjid Paloh dan tanah perkuburan Islam di Jalan Bendahara juga menjadi salah satu bukti bahawa Kampung Paloh sinonim dengan masyarakat Melayu.

Selain itu, katanya, sejarah awal bendera UMNO juga dipilih dalam satu mesyuarat yang berlangsung di Ipoh.

"Dipercayai mesyuarat itu berlangsung di Madrasah Sharifah Masjid Paloh.

"Bendera UMNO yang digunakan hari ini juga diputuskan ketika mesyuarat tersebut, sekitar tahun 1946," katanya.

Justeru katanya, orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Kampung Paloh khususnya dan Ipoh amnya di Galeri Panglima Kinta.

Galeri tersebut merupakan inisiatif Ahli Jawatankuasa Masjid Panglima Kinta dengan kerjasama Tourism Perak.

"Di situ kita boleh lihat kronologi sejarah Ipoh dan Kinta dari awal sampai sekarang, ada salasilah tentang pembesar dan pakaian istiadat.

"Ada sejarah kampung yang ada dan sudah lenyap, bagaimana orang Melayu buka penempatan di Ipoh dan sebagainya," katanya.