KUALA LUMPUR:Sebanyak RM5.422 bilion diperuntukan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam Belanjawan 2021 yang diumumkan pada Jumaat lalu.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM4.134 bilion merupakan peruntukan tambahan untuk disalurkan kepada agensi di bawah kementerian khususnya melibatkan program-progam perlindungan sosial, latihan kemahiran dan insentif pengambilan pekerja.

"Daripada peruntukan tambahan itu, sebanyak RM1.5 bilion diperuntukan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pelaksanaan program subsidi upah 2.0 di mana had 200 pekerja dinaikkan kepada 500 orang untuk syarikat besar di bawah sektor pelancongan dan peruncitan.

"Menerusi usaha itu, kerajaan berupaya mengurangkan kadar pengangguran atau mereka yang hilang pekerjaan melalui program subsidi upah ini dan mengikut data terkini, hampir 2.72 juta pekerja dapat diselamatkan melalui langkah ini.

"Program itu juga secara tidak langsung turut menyelamatkan hampir 300,000 syarikat daripada gulung tikar.

"Dana-dana ini akan digunakan untuk mengatasi isu pengangguran, melahirkan peluang pekerjaan, menambahkan kemahiran-kemahiran seperti upskilling, reskilling, crosskilling, dan realskilling. Ini akan menjadi hala tuju KSM," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, sebagai kesinambungan kejayaan program Penjana Kerjaya, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan program siri kedua itu.

"Menerusi usaha itu, insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan.

"Pengambilan pekerja orang kurang upaya (OKU), penganggur jangka panjang, ibu tunggal dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan diberi lagi insentif tambahan sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan pekerja berkenaan," ujarnya.