KUALA TERENGGANU: Bekas pemberita daerah Bernama Biro Terengganu, Ibrahim Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai 'Pok Him' meninggal dunia di kediamannya di Kampung Ladang Sekolah di sini, awal pagi tadi.

Pok Him yang juga terkenal dengan gelaran 'Pok Him Vespa' meninggal dunia pada usia 80 tahun selepas lebih dua bulan terlantar akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk buah pinggang dan jantung.

"Bapa saya menjalani rawatan dialisis lebih enam tahun lepas dan kira-kira dua bulan lalu, keadaan kesihatan arwah semakin merosot selepas dijangkiti COVID-19.

"Sejak itu arwah bapa hanya terlantar sehinggalah meninggal dunia kira-kira 6.15 pagi tadi. Sebelum meninggal subuh tadi, arwah masih sedar, beritahu haus dan kami suapkan air zamzam," kata anak keduanya, Niny Asmidar Ibrahim, 44, kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Menurut Niny Asmidar yang merupakan seorang guru, arwah bapanya bertugas sebagai pemberita daerah Bernama selama lebih 40 tahun sebelum berhenti kira-kira 10 tahun lalu selepas keadaan kesihatannya yang kurang baik.

Sementara itu isteri arwah, Zainun Zakaria, 67, berkata sebelum bertugas di Bernama, Pok Him pernah merantau ke Singapura dan bekerja di sana sebagai penulis sebuah majalah.

"Lama dia duduk sana (Singapura), masa umur 15 tahun dah pergi Singapura kerja majalah, dia balik ke sini masa umur 30 tahun dan lepas tu kami berkahwin, masa tu dia dah kerja dengan Bernama dah, sebut Pok Him Vespa Bernama semua orang kenal," katanya.

Jenazah Pok Him selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ladang Tok Pelam pada 11.30 pagi tadi. Arwah meninggalkan lapan orang anak berusia 46 hingga 31 tahun serta 14 cucu.

-- BERNAMA