KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman seorang bekas pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki menyalahgunakan jawatan untuk menyokong pelantikan syarikat milik suaminya bagi mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah RM1.4 juta.

Menurut sumber, wanita berusia 40-an itu ditahan reman selama enam hari sehingga Ahad.

"Tahanan reman terhadap suspek wanita itu telah dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak, selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi," katanya pada Selasa.

Tambah sumber itu, seorang lagi suspek wanita berusia lingkungan 50-an yang merupakan pemilik syarikat turut ditahan, namun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sumber berkata, kedua-dua suspek telah ditahan antara jam 2.30 dan 3.50 petang pada Isnin ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.

“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2019 dengan menggunakan jawatannya bagi mencadang dan menyokong syarikat milik suaminya untuk mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

“Suspek juga dipercayai bersubahat bersama suspek kedua dengan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan ujian saringan COVID-19 berjumlah kira-kira RM2,000 pada tahun 2022 sedangkan ujian tersebut tidak dilaksanakan," ujarnya.

Tambahnya, pada 2023, suspek utama juga disyaki bersubahat mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan pembekalan barangan plastik berjumlah kira-kira RM2,000, namun barangan tersebut tidak dibekalkan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 23 dan 18 Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa tangkapan susulan akan dibuat selepas ini.