ALOR GAJAH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 33.

Tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, hanya mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh terhadap Istiqomah Ahmad Rozi di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang Alor Gajah antara 26 Disember hingga 31 Disember 2023 lalu.

Tertuduh yang juga bekas guru didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim membantah sebarang bentuk jaminan diberikan terhadap tertuduh.

Beliau turut memohon tarikh sebutan baru sementara menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.

Shu Yee pada penghakimannya menetapkan 22 Oktober ini sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan tertuduh ditahan selepas dipercayai melakukan pembunuhan kejam terhadap mangsa yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3 yang dilaporkan hilang sejak 27 Dis lalu.

Ia selepas misteri penemuan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini 31 Disember lalu terjawab apabila ia disahkan milik guru wanita berkenaan.

Ia disahkan berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap ibunya pada 2 Ogos lalu mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.