KUALA LUMPUR: Seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat petroleum dan gas ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pada Selasa  selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah dianggarkan RM370,000 .

Memetik portal Sinar Harian, suspek lelaki yang berusia lingkungan 50 tahun berkenaan dipercayai ditahan ketika hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 5.30 pagi Isnin.

“Siasatan awal mendapati suspek meminta dan menerima rasuah daripada empat individu bagi membolehkan mereka dilantik sebagai konsultan pakar geologi di syarikat suspek,” menurut SPRM.

“Empat individu itu dibayar antara RM750 hingga RM 2,100 sehari mengikut tawaran yang diputuskan oleh syarikat terbabit.

SPRM turut berkata suspek disyaki menerima wang suapan berjumlah RM150 hingga RM500 sehari melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik suspek daripada akaun milik empat individu terbabit.

Perintah reman selama empat hari bermula Selasa dan dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, SPRM turut memaklumkan, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.