KUALA LUMPUR: Seorang bekas eksekutif kanan perakaunan dan pentadbiran di sebuah syarikat korporat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM103,060, tiga tahun lepas.

G. Selvi, 39, yang ketika itu eksekutif kanan perakaunan dan pentadbiran didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang syarikat berjumlah RM103,060 yang diamanahkan terhadapnya di sebuah pejabat korporat di Brickfields, di sini antara 7 Nov 2022 dan 15 Sept 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun serta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias mencadangkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Jeremy Vinesh Anthony memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya adalah suri rumah yang baru melahirkan bayi kembar pada Julai lalu, dengan seorang daripada bayi mengalami masalah kesihatan serius.

Beliau juga menyatakan tertuduh menghadapi masalah kesihatan termasuk diabetes dan memerlukan rawatan susulan pembedahan caesarean.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 18 Feb untuk sebutan kes.

-- BERNAMA